Serentak dengan pelancaran BMW 1 Series generasi baharu dengan varian tunggal M135i xDrive hari ini, BMW Malaysia turut memperkenalkan alternatif lebih mampu milik versi crossover X1 sDrive20i M Sport F48 yang telah masuk kepasaran tempatan awal tahun ini, iaitu BMW X1 sDrive 18i.

Berbanding X1 sDrive20i M Sport, varian sDrive 18i ini dijual RM17k lebih murah iaitu pada harga RM208,368.48 dengan pengecualian SST, atau model paling mampu milik dalam barisan model yang ditawarkan oleh BMW Malaysia buat masa sekarang. Jika tamat cuti cukai dari insentif PENJANA ini kelak, ia akan dijual pada harga RM215,800.

Sudah tentu, model ini menerima unit penjana yang lebih kecil dari sDrive20i M Sport. BMW X1 sDrive 18i ini dilengkapkan dengan enjin B38 1.5 liter tiga-silinder bersama pengecas turbo twin-scroll, menghasilkan 140 PS dan tork maksima 220 Nm.

Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik Steptronic tujuh-kelajuan dan kuasa hanya dihantar ke roda hadapan. Ini membolehkan SUV tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.6 saat dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 201 km/j. Penggunaan bahan api purata pula dicatatkan pada kadar 6.3 liter setiap 100 km.

Untuk perincian, model varian lebih rendah ini dipadankan dengan bampar hadapan lebih ringkas bersama kemasan-kemasan plastik dan pelindung sekeliling badan tanpa cat, rel bumbung aluminium kemasan satin, tip ekzos tunggal dan juga rim aloi Style 560 17-inci dengan tayar Bridgestone Turanza T001 225/55R17.

Selain itu, ia turut diberikan lampu hadapan LED penuh bersama gegelang corona berbentuk-heksagon, lampu kabus LED melintang, lampu belakang LED penuh dengan grafik berbentuk-L serta pintu tailgate berkuasa. Tiga pilihan warna badan masih lagi sama dengan varian sDrive20i iaitu Alpine White, Black Sapphire dan Mineral Grey, namun warna ekslusif untuk M Sport iaitu Misano Blue digantikan dengan Mediterranean Blue pada versi lebih rendah ini.

Untuk kabin pula, sDrive18i diberikan tempat duduk asas Dakota dengan balutan kulit, roda stereng Sport tiga jejari balutan kulit dan juga kemasan-kemasan piano black. Manakala perincian lain masih lagi serupa dengan versi sDrive20i M Sport.

Ia termasuk sistem pendingin hawa dua-zon automatik, paparan instrumen dengan meter analog bersama paparan Black Panel 5.7-inci, sistem infotainmen BMW Operating System 6.0 dengan skrin sesentuh 8.8-inci, sistem bunyi 100-watt dengan enam pembesar suara, dan juga lampu suasana gentian optik dengan enam pilihan warna. Kabin belakang pula diberikan liang pendingin hawa dengan dua port mengecas USB-C.

Bagi ciri keselamatan pula, model sDrive18i ini diberikan pakej bantuan pemanduan BMW Driving Assistant terdiri dari amaran pelanggaran hadapan dengan bantuan brek automatik (AEB), cruise control dengan fungsi membrek, amaran keluar lorong, bantuan lampu tinggi, dan juga informasi had laju. Ia turut diberikan sistem differential lock elektronik dan juga Performance Control, bersama servis BMW ConnectedDrive bersama Teleservis dan Panggilan Kecemasan Pintar.