Seperti yang dikhabarkan, BMW X1 versi facelift F48 telah pun masuk ke pasaran Malaysia. Ia ditawarkan dengan varian tunggal X1 sDrive20i M Sport dan model pemasangan tempatan (CKD) ini dijual pada harga atas jalan RM233,888 tanpa insurans dan RM13,000 lebih mahal berbanding model sebelumnya.

Penjana kuasanya masih menggunakan enjin petrol B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghamburkan output sehingga 192 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 280 Nm antara 1,350 dan 4,600 rpm.

Ia dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan (dengan pedal penukar gear) dan pacuan roda-hadapan, dengan pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam 7.6 saat dan kelajuan maksimum boleh mencecah 224 km/j. Penggunaan bahan api kombinasi sekitar 6.5 liter per 100 km.

Melihat gaya luarannya, ia kelihatan agak garang dan sporty. X1 baharu ini dipadankan dengan gril “kidney” trapezoid yang lebih besar bersama kemasan krom di sekelilingnya yang bersambung di bahagian tengah. Ia turut disambungkan dengan lampu utama LED yang direka semula bersama lampu nyalaan siang “corona ring” haksagon. Sementara lampu belakang juga dengan unit LED dan grafik dalaman baharu lebih bergaya.

Sifat sporty pastinya lebih menyerlah dengan kehadiran elemen rekaan M Sport termasuk pada bampar hadapan yang lebih agresif dengan kemasan hitam berkilat serta lampu kabus LED. Ia turut menampilkan lapisan sama warna dengan badan, skirt sisi yang lebih kedalam dan juga bampar belakang yang juga sama dengan warna badan bersama diffuser yang lebih besar.

Selain itu, ia turut ditampilkan dengan corong paip ekzos berkembar dan roda aloi Style 570 M dua-tona 18-inci. Malahan ia turut dipadankan dengan suspensi M Sport yang pasif.

Walau bagaimana pun, tidak banyak perubahan yang dilakukan untuk kabinnya. Ia masih menampilkan papan pemuka yang sama dengan X2 dan ada port USB-C di belakang. Walau bagaimana pun, X1 versi Malaysia ini menampilkan material kulit upholstery Dakota dan didatangkan dengan kemasan aluminium dan serlahan Pearl Chrome.

Ciri lain yang ada termasuk sistem navigasi dengan skrin sesentuh 8.8-inci, dan iDrive Operating System 6 dari generasi sebelumnya. Kemasukan tanpa kunci didatangkan secara standard, dengan tailgate kuasa bebas-tangan.