Di samping pelancaran Volkswagen Passat R-Line dan Arteon R-Line pada 12 Ogos ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) juga akan memperkenalkan Tiguan Allspace buat pertama kalinya. SUV tujuh-tempat duduk ini ditawarkan dengan dua kemasan iaitu Highline dan R-Line.

Sebenarnya Tiguan Allspace dibangunkan untuk memenuhi permintaan pelanggan di Amerika Syarikat. Ia memiliki dimensi 215 mm lebih panjang iaitu pada 4,701 mm dan menawarkan lebih 57% kapasiti kargo. Jarak rodanya pula dilebarkan sebanyak 106 mm (2,787 mm) dan barisan tempat duduk kedua pula boleh digelangsar sehingga 178 mm.

Dengan kedudukan semua tujuh tempat duduk dalam keadaan menegak, Tiguan Allspace menawarkan 230 liter ruang kargo, tetapi jika barisan tempat duduk ketiga dibaringkan, ia boleh meningkat sehingga 700 liter. Dan jika barisan tempat duduk kedua juga dibaringkan, secara keseluruhannya boleh mencapai 1,775 liter bagi ruang but.

Bagi penjana kuasanya, Tiguan bersaiz besar ini masih menggunakan enjin yang sama seperti model lima-tempat duduk iaitu unit 1.4 liter empat-silinder TSI, menawarkan 150 PS dan tork 250 Nm. Dijangkakan ia dipadankan dengan kotak gear dwi-klac DSG (kering) enam-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan – jika konfigurasi ini, ia sama dengan spesifikasi yang negara jiran kita Indonesia terima. Untuk prestasinya, pecutan 0-100 km/j dapat dicapai dalam 9.5 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 202 km/j.

Untuk kelengkapannya, dijangka ia menerima Active Info Display digital sepenuhnya, lampu utama dan lampu belakang LED, unit utara Discover 9.2-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan kulit dan kemungkinan besar roda Auckland 19-inci yang dibaluti tayar 235/50.

Sebagai pengetahuan, Tiguan Highline lima-tempat duduk ditawarkan pada harga RM166,560, tetapi kini dengan potongan cukai jualan, ia menjadi RM162,108. Merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang VW di Pekan, Pahang, dan kemungkinan besar Allspace juga terhasil dalam unit CKD.

Jika anda bercadang untuk melihat Tiguan, Arteon dan Passat R-Line secara lebih dekat, kunjungi Volkswagen Tour yang bakal berlangsung di pusat membeli-belah 1 Utama pada 12 hingga 16 Ogos ini.