Jun lalu, Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur dengan rasminya memperkenalkan Cullinan Black Badge bersama dengan model Wraith, Ghost dan Dawn versi yang sama di sini, menjadikan Malaysia satu-satunya negara di rantau ini yang menawarkan barisan penuh versi BB tersebut.

Dari namanya sudah boleh diagak, yang versi ini hadir dengan kemasan hitam sebagai keutamaannya. Kemasan yang ada menggunakan penyudah krom hitam berkilat, yang boleh dilihat misalnya pada bingkai gril, keliling tingkap, kemasan bahagian belakang serta paip ekzos. Lambang Spirit of Ecstacy juga menerima kemasan yang sama.

Model ini menerima rim rekaan baru dua tona warna saiz 22-inci. Angkup breknya juga diberikan kemasan hitam berkilat yang sama. Di dalam, kemasan khas yang dikenali sebagai Technical Carbon menjadi penghias. Ia material gentian karbon istimewa yang menggunakan enam lapis lacquer sebelum dibiarkan selama 72 jam.

Versi BB ini juga menerima peningkatan prestasi. Enjin 6.75 liter turbocas berkembar V12 pada Cullinan ini menghasilkan 600 PS dan 90 Nm; ini 29 PS dan 50 Nm lebih tinggi daripada model versi biasa. Transmisi automatik lapan-kelajuan ZF juga telah ditala agar lebih responsif. Harga bagi Rolls-Royce Cullinan Black Badge ini bermula dari RM1.7 juta, tidak termasuk duti dan pilihan kustom.