Satu lagi versi bagi model Ducati Scrambler, iaitu Icon Dark tiba di Malaysia hari ini dan dijual pada harga RM49,900 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ini adalah model yang menggunakan asas daripada Scrambler Icon 2019, namun kebanyakan bahagiannya diwarnakan hitam matte.
Ini termasuklah tangki, fender hadapan, fender belakang, perumah lampu serta juga kemasan keliling meter. Bahagian tepi tangki serta kemasan pada ekzos masih lagi menggunakan panel aluminium. Tempat duduk dibalut kulit berwarna hitam.
Sebagai sebuah model yang menggunakan asas daripada Scrambler 2019, model ini mempunyai lampu utama LED berserta DRL, klac jenis hidraulik, panel meter yang lengkap dengan penunjuk tahap minyak dan kedudukan gear, Cornering ABS serta tempat duduk baru. Penunjuk arah walaubagaimanapun masih menggunakan unit halogen biasa.
Sama seperti model Scrambler yang lain (kecuali Sixty2), Icon Dark ini dikuasakan oleh enjin L-Twin 803 cc, serta padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 73 hp pada 8,250 rpm dan 67 Nm tork pada 5,750 rpm.
Kelengkapan lain pada Scrambler Icon Dark ini adalah termasuk rim 17 inci dengan tayar Pirelli MT60 RS, brek cakera tunggal 330 mm berserta angkup Brembo di hadapan, cakera 245 mm di belakang, fork hadapan Kayaba (tidak boleh dilaras), monoshock Kayaba dengan pelarasan pra beban di belakang, berat 189 kg, tangki bahan api 13.5 liter dan tinggi tempat duduk 798 mm.