Nissan bangunkan cara mudah hasilkan komponen gentian karbon; akan digunakan untuk model biasa

Nissan bangunkan cara mudah hasilkan komponen gentian karbon; akan digunakan untuk model biasa

Gentian karbon merupakan material yang paling sesuai untuk menggantikan logam untuk kebanyakkan komponen bagi menghasilkan sebuah kenderaan yang jauh lebih ringan. Sifatnya yang kurang lentur bukan sahaja dapat menghasilkan kerangka badan yang lebih kuat bagi memberikan titik graviti lebih rendah, pengendalian dan juga keselamatan yang lebih bagus, malah dengan jisim keseluruhan yang lebih ringan, sesebuah kenderaan itu juga dapat memberikan ekonomi bahan api yang jauh lebih baik.

Namun kerana proses pembuatannya yang rumit membuatkan kos untuk menghasilkan komponen-komponen gentian karbon ini menjadi tinggi. Oleh itu buat masa sekarang, penggunaan gentian karbon ini hanya banyak kita temui pada kereta lumba, kereta sport dan juga dalam industri aeroangkasa. Jika ia digunakan pada kereta penumpang biasa, sudah tentu harga kereta berkenaan akan melambung tinggi.

Jadi, Nissan mengambil inisiatif untuk membangunkan satu proses untuk menghasilkan komponen gentian karbon ini dengan cara yang lebih mudah, cepat dan mengurangkan kos, seterusnya membolehkan ia diproduksi secara besar-besaran dan dapat digunakan pada kereta penumpang biasa.

Jenis produk gentian karbon yang akan dihasilkan menerusi proses baharu tersebut adalah gentian karbon diperkuat plastik (CFRP), dan inovasi tersebut mengambil masa hanya separuh untuk menghasilkan komponen berkenaan, dan masa kitaran untuk acuan pula jimat sehingga 80% berbanding cara konvensional.

Proses baharu yang dibangunkan oleh Nissan ini dikenali sebagai acuan alihan resin dimampatkan (C-RTM). Dengan cara ini, lapisan gentian karbon akan dibentuk mengikut acuan di bawah dan di atas serta meninggalkan satu ruang kecil diantaranya. Kemudian resin akan disuntik pada ruang berkenaan dan dibiar mengeras.

Jurutera Nissan membangunkan teknik untuk mensimulasikan kebolehtelapan resin dalam serat karbon dengan tepat, sambil memvisualisasikan sifat aliran resin dalam acuan menggunakan acuan telus cahaya bersama sensor suhu di dalamnya. Hasil dari proses ini adalah komponen berkualiti tinggi dengan masa penghasilan yang lebih pendek.

Menurut Rieko Yamaguchi, dari bahagian Kejuruteraan Elemen Pembuatan Kenderaan di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kejuruteraan Produksi Nissan, syarikatnya akan mula mengunakan komponen yang diperbuat dari CFRP ini pada struktur tiang-B (tiang di antara pintu hadapan dan belakang) untuk barisan model-model baharunya pada masa akan datang.

Walau bagaimanapun, Nissan masih belum memperincikan bila mereka akan memulakannya, dan model yang mana akan menjadi model pertama menerima komponen tersebut kelak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required