Produksi bagi generasi ketiga SUV Nissan Qashqai yang dilaporkan sebelum ini sepatutnya dimulakan pada bulan hadapan, terpaksa ditangguhkan ke pertengahan tahun 2021 akibat penularan pandemik COVID-19, laporan Financial Times.

Nissan yang memaklumkan pada Autocar berkata, “Persediaan diteruskan bagi pelancaran Qashqai baharu di Sunderland, yang turut melibatkan kos pelaburan untuk kilang pemasangannya sebanyak £400 juta (RM2.2 juta). Kami masih belum mengumumkan tarikh bagi model generasi akan datang, tetapi bakal berkongsi beberapa berita menarik untuk bulan-bulan akan datang.”

Nampaknya, kelewatan ini bakal membolehkan Nissan mengaturkan langkahnya sekiranya Britain tidak memperoleh perjanjian pasca Brexit dengan Kesatuan Eropah (EU). Kilang pengeluarannya di Sunderland mampu menghasilkan kira-kira 500,000 unit kereta setahun dan dieksport ke Eropah, dengan dua pertiga daripadanya adalah model Qashqai. Menurut Nissan, sebarang tarif perdagangan dengan EU akan ‘membahayakan’ model perniagaannya di Sunderland.

Model semasa Qashqai iaitu generasi kedua, telah dijual sejak tahun 2014. Mengikut perkhabaran, model baharu ini bakal menampilkan dua penjana kuasa hibrid baharu, dengan salah satunya kemungkinan adalah sistem e-Power. Menurut timbalan presiden bagi perancangan produk Nissan Eropah, Ponz Pandikuthira, “Kami sedang mengkaji teknologi e-Power untuk Eropah,” seakan memberikan bayangan ia bakal diperkenalkan di Eropah. Turut dijangkakan, sistem bantuan pemandu termaju Propilot juga akan ditampilkan pada model baharu tersebut.