BMW 2 Series Gran Coupe F44 dikesan di atas treler di Malaysia – varian 218i M Sport bakal dilancarkan?

BMW 2 Series Gran Coupe F44 dikesan di atas treler di Malaysia – varian 218i M Sport bakal dilancarkan?

Nampak gayanya BMW 2 Series Gran Coupe F44 bakal menjadi model seterusnya yang akan diperkenalkan oleh BMW Malaysia, dan pesaing bagi Mercedes-Benz CLA C118 ini telah dikesan sedang diangkut di atas treler oleh pembaca paultan.org Athiithan Khan.

Menggunakan senibina pacuan roda-hadapan (FAAR) yang sama seperti model terkini 1 Series F40, yang dilancarkan di sini pada Julai lalu, 2 GC ini telah pun diperkenalkan di peringkat global pada Oktober 2019, dan telah pun tiba di pasaran Singapura dan Thailand.

Seperti pasaran negara berkenaan, kita juga akan menerima 2 GC ini dalam varian 218i M Sport, yang dijanakan enjin B38 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 140 PS (138 hp) dari 4,600 hingga 6,500 rpm dan tork 220 Nm dari 1,480 hingga 4,200 rpm.

Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan, dengan pecutan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa sekitar 8.7 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 215 km/j. Bagi penggunaan bahan apinya, 218i ini dianggar menggunakan sekitar 5.9 l/100 km (kombinasi), sementara emisi bagi CO2 pula pada 136 g/km (kombinasi).

BMW 2 Series Gran Coupe F44 dikesan di atas treler di Malaysia – varian 218i M Sport bakal dilancarkan?

2 GC juga ada pilihan varian lain iaitu M235i xDrive, dengan enjin yang lebih berkuasa iaitu unit B48 2.0 liter dengan hamburan kuasa 306 PS (302 hp) dan 450 Nm, bersama transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan. Kombinasi ini membolehkan ia dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 4.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 250 km/j, walau pun kebarangkalian kita tidak mendapat pilihan ini – tapi ia ditawarkan di Singapura.

Bagi varian yang bakal tiba di pasaran kita, ia didatangkan dengan pakej M Sport secara standard, merangkumi bampar yang sporty, kemasan krom pada gril dan suspensi M Sport. Roda yang dipadankan pada kereta yang di atas treler ini ialah aloi jejari-berkembar style 819 M, dan Misano Blue antara pilihan warna bagi badannya.

Tiada foto bahagian dalamannya, namun 2 GC ini lebih kurang mirip dengan 1 Series dan mungkin dilengkapi dengan sistem BMW Live Cockpit Professional, di mana BMW Operating System 7.0 menjanakan dua paparan 10.25-inci.

BMW 2 Series Gran Coupe F44 dikesan di atas treler di Malaysia – varian 218i M Sport bakal dilancarkan?

Model BMW ini memiliki ukuran dimensi 4,526 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,420 mm tinggi, menjadikannya ia lebih pendek sebanyak 162 mm, 30 mm lebih sempir dan 19 mm lebih rendah berbanding pesaingnya Mercedes-Benz CLA. Manakala jarak rodanya pula mencapai 2,670 mm iaitu 59 mm lebih pendek jika mengikut perbandingan, sementara ruang butnya sekitar 430 liter (pesaingnya mencapai 460 liter).

Selain berkongsi platform yang sama dengan 1 Series, 2 GC ini menampilkan gaya yang tersendiri dengan garisan bumbung yang lebih rendah ke belakang, dipadankan dengan tingkap tanpa bingkai. Selain itu gril ‘kidney‘ disambung ke lampu utama unit LED. Begitu juga dengan lampu belakangnya yang nipis turut menggunakan unit LED.

Buat setakat ini, tiada perincian lanjut bilakan pelancaran rasminya untuk Malaysia, malah harganya juga belum ada bayangan. Tapi kalau ikut pesaingnya, CLA, dengan varian CLA 45 S 4Matic+ yang ditawarkan melebihi RM400k, agak-agak berapa pula tag harga bagi 2 GC ini pula ya?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required