Lexus telah mendedahkan model RC F Fuji Speedway Edition 2021, yang diperkenalkan sebagai tribute dari mana singkatan nama F itu berasal bagi mereka. Hanya ada 60 unit akan diperkenalkan, dengan penampilan yang diilhamkan oleh jentera GT3, serta beberapa peningkatan prestasi serta sentuhan penggayaan unik.

Menjana kuasa bagi jentera ini ialah unit 2UR-GSE 5.0 liter V8 yang sama, menghasilkan 472 hp pada 7,100 rpm dan 535 Nm tork pada 4,800 rpm. Transmisi automatik lapan-kelajuannya memacu roda belakang, membolehkan kereta ini memecut dari 0-96 km/j di bawah 4 saat.

Peningkatan yang terlibat termasuk komponen aerodinamik gentian karbon yang memperbaiki downforce, cakera brek seramik karbon Brembo dan ekzos titanium. Tayar pula menggunakan Michelin Pilot Sport 4 S.

Unik bagi Fuji Speedway Edition ini ialah penggunaan dua warna baru, Arctic Blast Satin (pertama untuk Lexus) atau Cloudburst Grey. Ini digandingkan pula dengan kerusi sport dengan kemasan kulit Circuit Red dengan perincian Alcantara, begitu juga dengan perincian gentian karbon warna merah.

Android Auto kini standard, melengkapi Apple CarPlay sedia ada, begitu juga dengan Amazon Alexa, Lexus Enform Wi-Fi dan fungsi-fungsi Lexus Enform Remote. Ciri lain yang datang sebagai standard ialah seperti peninjau titik buta dengan amaran trafik lintasan belakang, cermin sisi dengan pemanas elektrokromik dan Intuitive Parking Assist.

Pembeli Lexus RC F Fuji Speedway Edition juga akan menerima jam tangan automatik edisi terhad MSTR. Jam berkenaan menampilkan unsur-unsur yang diilhamkan oleh RC F seperti bezel gunmetal, jahitan merah pada talinya, serta logo F bagi Fuji Speedway.