Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah mengumumkan Pakej Premium untuk Porsche Macan facelift dengan pertambahan kit baharu bernilai RM39,000. Peningkatan ini termasuklah dengan adanya Comfort Access, Park Assist bersama Surround View dan Porsche Active Suspension Management (PASM) yang ditawarkan secara standard bagi SUV ini, yang dilancarkan di pasaran tempatan pada Jun tahun lalu dengan penawaran model asas 2.0 liter.

Tiga ciri baharu tersebut ditambah ke senarai elemen sebelum ini di bawah Pakej Premium, termasuklah tempat duduk hadapan larasan kuasa 14-hala dengan fungsi memori, Power Steering Plus, cermin malap-sendiri, sistem bunyi sekeliling Bose dengan Apple Carplay dan juga pencahayaan ambien.

Model asas yang dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 252 PS dan tork 370 Nm, yang pacuannya disalurkan ke keempat-empat roda menerusi transmisi automatik dwi-klac PDK tujuh-kelajuan. Pecutan dari titik sifar ke 100 km/j boleh dicapai sekitar 6.7 saat dan kelajuan maksimum pula mencecah 225 km/j.

Harga untuk model asas Macan baharu dengan Pakej Premium yang dipertingkatkan ini bermula dari
RM439,351, termasuk dengan pengecualian cukai jualan sebanyak 50% bagi model CBU sehingga 31 Disember ini. Ia turut didatangkan dengan waranti empat-tahun/200,000 km dan penyelenggaraan percuma termasuk alat ganti dan kos buruh.