Bermula hari ini, Kia Malaysia mula membuka tempahan untuk model SUV segmen B global Kia yang pertama, Seltos untuk pasaran tempatan. Ini pemain baru yang hadir untuk bersaing dengan model-model sedia ada seperti Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3. Jangan lupa, tidak lama lagi akan ada satu model lagi yang bakal masuk gelanggang yang sama, Proton X50.
Untuk pasaran Malaysia, Kia Seltos dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) dan hadir dengan dua varian berbeza iaitu model asas Seltos EX dan varian tertinggi Seltos GT-Line. Bagaimanapun, pasaran Malaysia tidak menerima Seltos yang dijana oleh enjin 2.0 liter NA dan 1.6 liter turbo, di mana kedua-duanya diberikan enjin Gamma 1.6 liter MPI NA, berkuasa 123 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 150.7 Nm pada takat 4,850 rpm.
Dimensi ukuran Kia Seltos pula adalah seperti berikut; 4,315 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,645 tinggi dan jarak roda 2,610 mm. Jadi jika dibandingkan dengan Honda HR-V, ia 19 mm lebih pendek (4,334 mm), 28 mm lebih lebar (1,772 mm) dan 40 mm lebih tinggi (1,605 mm), manakala jarak roda antara kedua-dua model ini pula adalah sama.
Bagi varian tertinggi GT-Line, ia hadir dengan lampu hadapan LED penuh, jalur lampu LED sambungan pada gril, lampu kabus LED serta gril dalam kemasan hitam berkilat. Model ini juga diberikan skid plate serta trim tambahan pada bampar belakang dalam kemasan krom satin, kemasan sekeliling pintu krom serta serlahan jalur merah pada bahagian bawah pintu, bampar hadapan dan belakang.
Kedua-dua varian menerima kelengkapan yang sama terdiri dari enam-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem brek ABS, sistem pengurusan kestabilan kenderaan (VSM), sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem Traction Control (TCS) dan juga bantuan mula mendaki (HAC). Untuk lihat dengan lebih terperinci model ini, tonton video yang kami sediakan.
GALERI: Kia Seltos GT-Line
GALERI: Kia Seltos EX