Kia Seltos didedahkan di M’sia – sudah boleh ditempah, CKD, 2 varian, 1.6L NA 123 PS/151 Nm

Kia Seltos didedahkan di M’sia – sudah boleh ditempah, CKD, 2 varian, 1.6L NA 123 PS/151 Nm

Selepas muncul buat pertama kali pada peringkat global tahun lalu, kini Kia Seltos secara rasminya didedahkan di pasaran Malaysia. Ia masih belum dilancarkan dan sebarang perincian harga belum diumumkan, tetapi model ini sudahpun boleh ditempah.

Bagi yang masih keliru tentang segmentasi Seltos ini, ia sebenarnya adalah SUV segmen-B yang akan berhadapan terus dengan model seperti Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3, diletakkan di bawah Sportage dalam barisan model Kia sendiri.

Untuk pasaran Malaysia, Kia Seltos dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) dan hadir dengan dua varian berbeza iaitu model asas Seltos EX dan varian tertinggi Seltos GT-Line.

Walau bagaimanapun, pasaran Malaysia tidak menerima Seltos yang dijana oleh enjin 2.0 liter NA dan 1.6 liter turbo, di mana kedua-duanya diberikan enjin Gamma 1.6 liter MPI NA, berkuasa 123 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 150.7 Nm pada takat 4,850 rpm.

Kia Seltos didedahkan di M’sia – sudah boleh ditempah, CKD, 2 varian, 1.6L NA 123 PS/151 Nm

Juga tiada pilihan sistem pacuan semua roda ditawarkan di sini, dan kuasa dari enjin hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan automatik.

Kia Seltos ini dihasilkan dengan dimensi 4,315 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,645 tinggi dan jarak roda 2,610 mm. Jadi jika dibandingkan dengan Honda HR-V, ia 19 mm lebih pendek (4,334 mm), 28 mm lebih lebar (1,772 mm) dan 40 mm lebih tinggi (1,605 mm), manakala jarak roda antara kedua-dua model ini pula adalah sama.

Dalam gambar anda mungkin nampak Seltos ini jauh lebih besar dari pesaing-pesaingnya yang lain. Ini kerana berbanding HR-V, C-HR atau CX-3 yang direka seakan sebuah hatchback dengan tayar lebih besar atau crossover, Seltos dihasilkan dengan rupa sebuah SUV sebenar yang bersegi tanpa bumbung yang direka landai kebelakang.

Seltos diberikan muka dengan gril ‘hidung harimau’ bersaiz besar, dan diberikan lampu hadapan dua baris yang unik. Model asas EX hadir standard dengan lampu hadapan automatik jenis projektor disertakan lampu nyalaan siang LED bina dalam, bersama gril dalam kemasan hitam biasa, dan juga skid plate dalam kemasan perak.

Manakala untuk versi tertinggi GT-Line, ia hadir dengan lampu hadapan LED penuh, jalur lampu LED sambungan pada gril, lampu kabus LED serta gril dalam kemasan hitam berkilat. Model ini juga diberikan skid plate serta trim tambahan pada bampar belakang dalam kemasan krom satin, kemasan sekeliling pintu krom serta serlahan jalur merah pada bahagian bawah pintu, bampar hadapan dan belakang.

Untuk warna badan kedua-dua varian hadir dengan bumbung berwarna hitam dan boleh dipilih dengan warna utama Glacier White Pearl dan Gravity Grey. Manakala warna Intense Red hanya ditawarkan untuk model EX dan warna Intelligency Blue punya hanya untuk varian GT-Line.

Kedua-dua varian ini juga hadir standard dengan rel bumbung yang benar-benar berfungsi, serta rim aloi 17-inci dengan tayar 215/60R17. Namun rekaan rim untuk kedua-duanya berbeza, di mana GT-Line diberikan kemasan lebih gelap bersama penutup tengah dengan kemasan merah sekeliling. Seperti yang anda boleh lihat, GT-Line juga diberikan angkup brek hadapan dalam kemasan merah.

Pada bahagian dalaman, kesemua varian hadir standard dengan tempat duduk balutan kulit, roda stereng rata di bawah dengan suis pelbagai fungsi balutan kulit, cermin pandang belakang chromic automatik, brek tangan manual, kemasan-kemasan hitam berkilat, liang pendingin hawa kabin belakang, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin dan juga sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Pada sebelah tuil penukar gear, kedua-dua varian Seltos diberikan suis putar untuk memilih mod pemanduan – Normal, Eco, Sport – dan juga mod untuk Traction Control bagi menyesuaikan karekter kuasa yang dihantar ke roda dengan permukaan jalan dengan pilihan Snow, Mud atau Sand.

Kia Seltos didedahkan di M’sia – sudah boleh ditempah, CKD, 2 varian, 1.6L NA 123 PS/151 Nm

Semua varian Seltos juga hadir standard dengan lampu Sound Mood, iaitu lampu pelbagai warna yang diletakkan pada pembesar suara hadapan yang akan menyala mengikut alunan muzik pada sistem audio dan juga tema yang dipilih sendiri oleh pengguna.

Bagi membezakan varian, model EX diberikan sistem pendingin hawa manual dan juga paparan pelbagai info dengan skrin TFT LCD supervision bersaiz 3.5 inci yang terletak pada bahagian tengah panel meter analog.

Manakala model GT-Line pula, ia hadir dengan tambahan sistem pendingin hawa automatik, panel LFT LCD lebih besar bersaiz tujuh-inci, paparan head-up, tempat duduk pemandu larasan elektrik lapan-hala, tempat duduk hadapan dengan liang udara pendingin hawa, sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan juga set pedal aloi.

Model GT-Line ini juga menerima rekaan kemasan pada tempat duduk yang berbeza, serta diberikan sulaman ‘GT-Line’ pada perehat badan dan juga serlahan jahitan benang merah yang turut hadir pada bahagian lain seperti kemasan pintu, perehat tangan hadapan, gaiter tuil penukar gear dan juga roda stereng.

Untuk bantuan pemanduan, semua varian Seltos hadir standard dengan sistem Cruise Control konvensional, penderia parkir belakang dan juga kamera undur. Tambahan untuk varian GT-Line, ia diberikan sekali dengan penderia parkir hadapan.

Manakala untuk sistem keselamatan pula kedua-dua varian menerima kelengkapan yang sama terdiri dari enam-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem brek ABS, sistem pengurusan kestabilan kenderaan (VSM), sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem Traction Control (TCS) dan juga bantuan mula mendaki (HAC).

Jika dilihat dari segi rekaan dan senarai kelengkapan yang diberikan, tidak hairan mengapa Kia Seltos ini dijual pada harga yang agak tinggi berbanding saingannya yang lain, terutamanya Honda HR-V. Berbaloi ke? Atau kita masih perlu menganggap model dari Korea ini perlu dijual lebih murah dari lawannya dari Jepun?

GALERI: Kia Seltos GT-Line

GALERI: Kia Seltos EX

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required