Pada bulan Mei lalu, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. selaku pengedar motosikal jenama SYM di Malaysia memperkenalkan model SYM VF3i 185 LE. Model berkenaan dijual pada harga RM9,338 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Menurut pengedarnya, perancangan asal bagi kapcai berkenaan adalah untuk mengeluarkannya dalam jumlah terhad 5,000 unit sahaja. Namun, disebabkan permintaan yang menggalakkan, MForce mengambil keputusan untuk menambah jumlah produksi model tersebut kepada 10,000 unit sehingga Disember 2020.

SYM VF3i 185 LE merupakan model kapcai pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci(ABS) dan juga beberapa naik taraf pada bahagian enjin untuk penunggangan yang optimum dan keselamatan yang maksima. Berbanding VF3i biasa, pembaharuan pada model LE ini tidak terhenti setakat pada penampilan sahaja kerana enjinnya turut dipertingkat.

Ia masih lagi menggunakan unit satu silinder 183 cc SOHC penyejukan cecair, tetapi bahagian head dan throttle body (30 mm) dipertingkat untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 19.7 hp pada 9,000 rpm dan 17.4 Nm tork pada 7,500 rpm (sebelum ini 17.7 hp dan 16.67 Nm).

Pemilik VF3i 185 LE juga dapat menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan juga perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.