BMW 4 Series Convertible – kembali guna bumbung fabrik, lebih ringan dan ruang barang lebih besar

BMW 4 Series Convertible – kembali guna bumbung fabrik, lebih ringan dan ruang barang lebih besar

Selepas 4 Series Coupe dilancarkan bulan Jun lalu, BMW kini memperkenalkan pula versi bumbung boleh buka, yang menggunakan kembali bumbung jenis fabrik. Sejak zaman 3 Series generasi E93, BMW cuma menggunakan bumbung boleh buka jenis keras, hinggalah 4 Series generasi sebelum ini.

Melalui 4 Series Convertible baru ini, ada empat varian yang ditawarkan iaitu 420i 184 hp/300 Nm yang mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 8.2 saat dan laju maksimum 236 km/j, 430i yang mencatat pecutan 0-100 km.j dalam masa 6.2 saat dan laju maksimum 250 km/j, serta M440i xDrive yang menggunakan enjin enam silinder 3.0 liter berkuasa 374 hp/500 Nm bersama sistem hibrid ringkas 48 volt (tambahan 11 hp) yang membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan laju maksimum 250 km/j.

Satu lagi varian adalah 420d yang menggunakan enjin diesel turbo empat silinder 2.0 liter yang berkuasa 190 hp/400 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat dan mencecah laju maksimum 236 km/j. Dua lagi varian diesel bagi model Convertible ini akan diperkenalkan kemudian.

Ia adalah 430d, yang akan dikeluarkan pada Julai 2021, dengan menggunakan enjin enam silinder 3.0 liter berkuasa 286 hp/650 Nm (0-100 km/j dalam masa 5.9 saat dan laju maksimum 250 km/j), dan M440d xDrive yang akan diperkenalkan pada bulan November 2021, berkuasa 340 hp/700 Nm, boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat dan mencapai laju maksimum 250 km/j. Sama seperti M440i xDrive petrol, semua enjin diesel 4 Series Convertible ini mendapat bantuan sistem hibrid ringkas 48 volt yang memberi tambahan 11 hp.

BMW 4 Series Convertible – kembali guna bumbung fabrik, lebih ringan dan ruang barang lebih besar

Penggunaan bumbung fabrik pada 4 Series Convertible G23 ini menjadikan beratnya lebih ringan 40% berbanding bumbung besi jenis lipat pada 4 Series Convertible F33 sebelum ini. Pada masa sama, ia juga memberikan lebih banyak ruang simpanan barang; model baru ini menyediakan kapasiti 300 liter, iaitu 80 liter lebih banyak apabila bumbung dibuka, sementara apabila bumbung ditutup, ia menyediakan 385 liter (15 liter lebih banyak berbanding F33).

Waktu yang diambil untuk membuka dan menutup bumbung fabrik ini adalah 18 saat, dan menurut BMW, ia boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 50 km/j. Model 4 Series Convertible ini juga mempunyai penyandar belakang yang boleh dilipat, untuk akses ke ruang barangan belakang.

Kelengkapan lain yang khas untuk model bumbung boleh buka dan disediakan sebagai pilihan tambahan adalah pemotong angin yang boleh disimpan pada penyandar belakang, serta pemanas tengkuk yang boleh disepadukan pada penyandar kepala tempat duduk hadapan. Sistem pemanas tambahan yang disediakan sebagai pilihan boleh dikawal menggunakan butan iDrive, Display Key ataupun aplikasi telefon pintar My BMW.

Bumbung fabrik pada model ini ditawarkan dalam warna hitam atau Anthracite Silver, dan ia menjadikan G23 ini sedikit lebih tinggi daripada 4 Series Coupe G22 (+1 mm, menjadi 1,384 mm), sementara dimensi lain adalah sama iaitu panjang 4,768 mm, lebar 1,852 mm dan jarak roda 2,851 mm (sama seperti 3 Series sedan G20).

Gril hadapan 4 Series digunakan semula pada model Convertible ini, sementara lampu pula adalah jenis LED penuh, diberikan secara standard. Lampu adaptif BMW Laserlight disediakan sebagai pilihan tambahan, dan ini termasuk dengan fungsi lampu membelok adaptif dan pencahayaan boleh ubah.

Papan pemuka 4 Series Convertible ini juga menggunakan bentuk yang sama seperti model Coupe, yang mana sebenarnya diambil daripada 3 Series G20. Panel instrumen menggunakan unit digital 12.3 inci, dipadankan bersama kawalan infotainmen Control Display 10.25 inci yang menggunakan BMW Operating System 7.

Sama seperti 4 Series Coupe G22, model Convertible G23 ini boleh dipilih dengan pakej Driving Assistant Professional, yang menambah ciri Steering and Lane Control Assistant yang boleh digunakan sehingga kelajuan 210 km/j. Ia digabungkan dengan sistem lain seperti Lane Keeping Assistant, Emergency Stop Assistant, Evasion Assistant, Automatic Speed Limit Assist, Wrong-way Driving Warning, Junction Warning dengan fungsi membrek serta amaran trafik bertentangan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required