Review: Michelin Power 5 – bantu penunggang nikmati motosikal sports jalanan, tak perlu risau bila hujan

Review: Michelin Power 5 – bantu penunggang nikmati motosikal sports jalanan, tak perlu risau bila hujan

Pengguna motosikal berkuasa tinggi kini mempunyai pilihan tayar baru apabila Michelin memperkenalkan barisan model Power tahun ini, yang terdiri daripada Power 5,, Power GP, Power Cup 2 dan Power Slick 2. Tayar ini mempunyai nisbah penggunaan jalan biasa dan litar masing-masing 100% (jalan biasa sahaja), 50:50, 10:90 dan 100% (litar sahaja).

Bagi memberi peluang merasakan sendiri prestasi tayar ini, Michelin Malaysia telah menyediakan saya dengan satu set Power 5 bersaiz 120/70 (hadapan) dan 160/60 (belakang) untuk dipasang pada KTM 690 Enduro R yang menggunakan rim supermoto. Penukaran dilakukan di Syarikat Motosikal Sunny, Setapak.

Dalam barisan model Power yang baru dilancarkan ini, Power 5 adalah yang paling sesuai digunakan atas jalan biasa kerana ia mampu memberikan cengkaman baik atas jalan kering dan juga basah. Kalau dibandingkan pula dengan Power GP, bahagian tepi Power 5 tidak menggunakan bahan slick.

Bunga bahagian tengah kelihatan sama sementara untuk campuran bahan pula, bergantung kepada saiz, ia boleh mencecah sehingga 68% silika di bahagian tengah dan 22.5% untuk bahagian tepi.

Sebaik tayar ini dipasang kepada motosikal, perkara pertama yang disedari adalah ia cukup melekit sehingga mengeluarkan bunyi berdecit apabila melalui garis jalan. Atas jalan bersimen seperti kawasan letak kereta juga ia menjadi lebih jelas sekaligus membuatkan saya tersenyum.

Rasanya sebelum ini, tidak pernah lagi saya mendengar bunyi melekit seperti ini apabila menggunakan tayar street baru dan awalnya saya berpendapat ia mungkin disebabkan lapisan paling atas yang biasanya terdapat pada tayar baru.

Sekadar memberitahu, apabila menggunakan apa-apa pun tayar baru, anda sepatutnya memberikan sedikit masa untuk membuang lapisan ini dan perlu menunggang lebih berhati-hati terutamanya apabila mengambil selekoh. Lapisan ini biasanya akan membuatkan tayar lebih licin dan bagi tayar ini, kami memberikannya masa sekitar 50 km untuk mula merasakan cengkaman sebenar.

Habis tempoh itu dan tayar sudah mula memberikan prestasi yang meyakinkan, bunyi melekit itu masih ada dan saya berpendapat ia mungkin disebabkan oleh campuran bahannya. Tiada apa yang perlu dirisaukan, malah ia membuatkan saya lebih yakin.

Review: Michelin Power 5 – bantu penunggang nikmati motosikal sports jalanan, tak perlu risau bila hujan

Sewaktu artikel ini ditulis, saya telah menggunakan tayar ini hampir 3,000 km dalam pelbagai keadaan dari tunggangan bersemangat atas jalan biasa, perjalanan jauh, hinggalah ke dalam litar. Gambar terakhir yang anda lihat dalam set gambar di bawah adalah selepas saya menghabiskan masa dalam Litar Tangkak.

Atas jalan biasa, saya boleh katakan tayar ini sangat berbaloi untuk digunakan oleh mereka yang mempunyai motosikal sports. Harga untuk unit yang diberi kepada kami ini adalah RM423 untuk bahagian depan dan RM530 untuk bahagian belakang.

Mereka seperti ini biasanya mencari tayar yang boleh memberikan keyakinan untuk mereka melayan selekoh, dan pada masa sama masih boleh digunakan tanpa risau atas jalan basah dan tidak terlalu cepat habis.

Semua ini dapat disediakan oleh Power 5 dan pada pendapat saya, ia adalah lebih baik berbanding tayar jenama pesaing dalam segmen sama yang digunakan pada motosikal saya sebelum ini.

Review: Michelin Power 5 – bantu penunggang nikmati motosikal sports jalanan, tak perlu risau bila hujan

Atas jalan kering, saya tidak perlu risau langsung berkenaan cengkaman kerana seingat saya, tidak sekali pun atas jalan yang elok saya terasa ia tergelincir. Ini termasuklah waktu saya menunggang pada kadar yang boleh dikatakan laju untuk jalan biasa.

Setelah beberapa ratus kilometer, saya sudah mula mendapat tanggapan ini adalah tayar prestasi jalanan, yang bermakna cengkaman atas jalan kering adalah sangat baik. Melalui tayar seperti ini, kita juga sudah boleh membuat jangkaan mesti terdapat sedikit kekurangan atas jalan basah.

Menurut Michelin, Power 5 masih boleh memberi cengkaman yang baik atas jalan basah kerana menggunakan campuran bahan silika serta carbon black, dan bunga bahagian tepinya juga anda boleh lihat lebih panjang dan besar.

Walaupun begitu, saya sentiasa memberikan rasa berjaga-jaga yang lebih apabila menggunakan tayar sebegini dalam waktu hujan. Memang ada rasa sedikit geli kalau dibandingkan dengan Pilot Road 4 tetapi ia tidaklah sehingga menyebabkan saya menunggang dengan rasa takut atau terlalu perlahan, dan saya masih dapat mengambil selekoh dengan selamat.

Review: Michelin Power 5 – bantu penunggang nikmati motosikal sports jalanan, tak perlu risau bila hujan

Bercerita tentang perjalanan jauh, saya telah menggunakan Power 5 ini untuk satu perjalanan Kuala Lumpur – Teluk Intan – Cameron Highlands – Tasik Kenyir – Kuala Terengganu – Kuantan – Kuala Lumpur.

Walaupun jalan yang dilalui banyak bercampur antara lebuh raya dan selekoh-selekoh, saya masih risau bahagian tengah akan mula nampak seperti berpetak atau rata, seperti yang akan terjadi apabila menggunakan tayar lembut untuk perjalanan jauh.

Pada Power 5 ini ia tidak sebegitu. Setelah perjalanan lebih 1,300 km, tayar yang digunakan, terutamanya bahagian belakang masih dalam bentuk biasa yang bulat dan tidak terlalu terkesan. Satu lagi tambahan, saya juga ada membawa motosikal ini untuk melalui sedikit jalan offroad di Gopeng, dan meskipun dipulas atas jalan berbatu, ia masih lagi bertahan dan tidak terkoyak.

Disebabkan Power 5 boleh dikatakan sebagai tayar prestasi jalanan tahap pertengahan, saya merasa yakin untuk menggunakannya di dalam litar, sewaktu acara Supermoto Track Day di Litar Tangkak, Johor.

Keadaan selepas penggunaan dalam litar

Sehari suntuk saya membelasah Power 5 ini dengan dalam beberapa sesi iaitu Practice 1, Practice 2, Qualifying, Race 1 dan Race 2. Kalau dikira, saya rasa mungkin ada lebih 60 pusingan yang dibuat, dengan hampir kesemuanya pada tahap maksimum.

Saya boleh katakan, sekiranya anda masuk ke dalam litar hanya untuk berseronok atau berlatih pada tahap bawah 60% daripada maksimum, tayar ini masih boleh digunakan. Tiada masalah untuk menggunakan Power 5 ini termasuklah untuk mengambil selekoh sehingga mencecah lutut.

Tetapi apabila anda sudah masuk dalam mod perlumbaan dan mahu mengerah kuasa maksimum motosikal, tayar ini akan mula rasa sedikit kekurangan. Apabila ia sudah mula rasa tergelincir, anda harus mengawal pendikit supaya tidak terlalu agresif dan ini akhirnya membuatkan anda ketinggalan berbanding mereka yang menggunakan tayar slick.

Untuk tugas ini Michelin ada menawarkan Power Cup 2 atau Power Slick 2 yang mana harganya untuk setiap unit cuma berbeza tidak sampai RM160 (atau kurang) bergantung kepada saiz.

Review: Michelin Power 5 – bantu penunggang nikmati motosikal sports jalanan, tak perlu risau bila hujan

Sejak mencuba Michelin Power 5 ini, saya sudah mula membuat keputusan ia mungkin adalah tayar kegemaran saya sekarang untuk tunggangan atas jalan biasa. Cuma yang perlu diperhatikan lagi adalah berapa jumlah perjalanan keseluruhan yang boleh dicapai menggunakannya sebelum bunga menjadi botak atau prestasinya mula menurun.

Apabila sudah tahun nanti saya akan mengemas kini artikel ini dan sekiranya lebih daripada 7,000 km pun, ia sudah boleh menjadi pilihan utama saya berbanding tayar lain yang sudah pernah digunakan sebelum ini.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required