Bermaz Motor telah mengumumkan panggilan semula bagi kenderaan Mazda di Malaysia, melibatkan 19,685 unit keseluruhannya. Menurut kenyataan yang diterima daripada Mazda Jepun, panggilan semula itu bertujuan untuk menggantikan pam minyak pada model-model yang dikilangkan antara tahun 2017 dan 2019, merujuk kepada model seperti Mazda 2, Mazda 3, Mazda 6, CX-3, CX-5 dan CX-9.

Syarikat itu memaklumkan, semua model yang dikilangkan pada tahun 2020 tidak terkesan dengan perkara ini. Langkah penukaran pam minyak ini perlu dilakukan memandangkan modul pam minyak yang bermasalah mungkin akan mengakibatkan kehilangan kuasa enjin atau kenderaan terhenti. Panggilan semula ini juga dilakukan pada pasaran-pasaran ASEAN yang lain serta turut melibatkan pasaran China, Timur Tengah, Afrika, Amerika Tengah dan kepulauan Carribean.

Pecahan bagi 19,685 unit yang terkesan di Malaysia adalah seperti berikut:

  • Mazda 2 – 2,028 unit
  • Mazda 3 – 1,441 unit
  • Mazda 6 – 13 unit
  • CX-3 – 381 unit
  • CX-5 – 15,780 unit
  • CX-9 – 42 unit

Pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan oleh Bermaz Motor melalui surat pemakluman dan SMS, yang turut akan terkandung perincian panggilan semula itu. Mereka yang telah menerimanya digesa untuk menghubungi mana-mana pusat servis Mazda untuk menetapkan temujanji. Anda boleh juga menyemak sama ada kenderaan Mazda anda terlibat atau sebaliknya dengan memasukkan VIN melalui laman web ini.

Penukaran modul pam minyak akan dilakukan secara percuma, dengan semua kos ditanggung oleh Bermaz Motor. Syarikat itu menjelaskan ia akan mengambil masa sekitar 1.5 jam atau lebih untuk menjalankan servis berkenaan, bergantung kepada model dan beban kerja pusat servis yang terlibat ketika itu. Stok alat ganti pula akan disediakan secara berperingkat.