GMC Hummer EV 2022 – trak ikonik kini berkuasa elektrik sepenuhnya; 3-motor, 1,000 hp, 15,591 Nm!

GMC Hummer EV 2022 – trak ikonik kini berkuasa elektrik sepenuhnya; 3-motor, 1,000 hp, 15,591 Nm!

GMC kini telah menghidupkan kembali jenama trak/SUV ikonik mereka iaitu Hummer ke pasaran. Namun kemunculan semula Hummer bukan lagi seperti sebelumnya, tetapi tampil sebagai sebuah trak pikap yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya.

Sebelum anda ketawa dan mendakwa ia bukan lagi Hummer sebenar kerana tidak dijana oleh enjin pembakaran dalaman, hadam dulu fakta ini – Hummer EV ini digerakkan dengan tiga motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 1,000 hp dan tork maksima 15,591 Nm!

Untuk model edisi khas pengenalannya yang dikenali sebagai Hummer EV Edition 1 ini, pek bateri Ultium berkembar yang membekalkan kuasa didakwa mampu untuk memberikan jarak gerak sejauh 560 km. Ia boleh menyokong sistem caj cepat DC 800-volt sehingga 350 kW, yang membolehkan ia bergerak sejauh 160 km dengan caj hanya selama 10 minit.

Model Edition 1 ini akan mula masuk ke pasaran Hemisfera Utara pada musim luruh 2021 dengan harga bermula US$112,595 (RM466,706), dan akan diikuti oleh tiga varian Hummer EV yang lain.

GMC Hummer EV 2022 – trak ikonik kini berkuasa elektrik sepenuhnya; 3-motor, 1,000 hp, 15,591 Nm!

The GMC HUMMER EV is driven by next-generation EV propulsion technology that enables unprecedented off-road capability, extraordinary on-road performance and an immersive driving experience.

Varian-varian lain tersebut akan dimulakan dengan Hummer EV3X yang akan masuk ke pasaran pada musim luruh 2022 dengan harga bermula US$99,995 (RM414,479), dibekalkan dengan tiga motor berkuasa 800 hp dan tork maksima 12,880 Nm, boleh berjalan sejauh 480 km dengan satu caj penuh.

Kemudian diikuti Hummer EV2X pada musim bunga 2023 dengan harga bermula US$89,995 (RM373,029), dijana hanya dua motor elektrik berkuasa 480 hp dan tork maksima 10,033 Nm, juga boleh berjalan sejauh 480 km. Akhir sekali adalah varian asas Hummer EV2 yang akan muncul pada musim bunga 2021, juga dibekalkan dengan dua motor berkuasa 480 hp/10,033 Nm, tetapi hanya boleh bergerak sejauh 400 km dengan satu caj penuh.

Untuk model Edition 1, kuasa dan tork gergasi berkenaan membolehkan trak pikap bersaiz ‘gedabak’ ini memecut dari 0-96 km/j dalam masa hanya sekitar tiga saat. Trak pikap elektrik ini juga diberikan sistem stereng pada keempat-empat roda dengan mod CrabWalk, yang membolehkan ia berjalan ke sisi seperti ketam.

Hummer EV juga menerima sistem suspensi udara adaptif secara standard, dan ia disertakan dengan mod Extract yang akan membuatkan ketinggiannya bertambah 149 mm bagi membolehkan ia meredah permukaan jalan yang lasak atau meredah sungai, dan ia mampu untuk memanjat permukaan menegak setinggi 18-inci. Untuk tayar, model ini diberikan tayar mud-terrain Goodyear Wrangler Territory 35-inci secara standard, dengan opsyen tayar 37-inci.

GMC Hummer EV 2022 – trak ikonik kini berkuasa elektrik sepenuhnya; 3-motor, 1,000 hp, 15,591 Nm!

The 2022 GMC HUMMER EV’s design visually communicates extreme capability, reinforced with rugged architectural details that are delivered with a premium, well-executed and appointed interior.

Bahagian bawah Hummer ini juga diberikan pelindung yang dihasilkan dari plat logam bagi memastikan pek bateri selamat ketika ia meredah laluan off-road. Selain itu, Hummer EV ini juga diberikan kamera ultravision pada bahagian bawah hadapan dan belakang bagi memastikan pemandu mengetahui apa yang berlaku di bawah lantai ketika ia dipandu pada permukaan lasak.

Kamera tersebut turut dilindungi dalam pakej khas bagi memastikan ia tidak rosak terkena apa jua halangan, serta diberikan fungsi untuk dibasuh bagi membersihkan apa juga kotoran yang menghalangnya untuk mendapatkan visual. Secara keseluruhan, Hummer EV ini dibekalkan dengan paparan 18 kamera, dan GMC mendakwanya sebagai yang terbaik dalam kelas berkenaan.

Struktur badan yang kuat pada Hummer EV ini bagi melindungi pek bateri secara tidak langsung membolehkan ia turut dihasilkan dengan bahagian bumbung yang boleh dicabut, digelar sebagai Sky Panel. Bumbung berkenaan kemudian boleh disimpan dalam ruang kargo hadapan, memandangkan ia tidak mempunyai enjin pada bahagian tersebut.

Selain dari muka dan asas badan trak pikap ini yang masih mengekalkan asas rupa yang sama seperti model-model Hummer generasi sebelum ini, ia turut diberikan lencana Hummer yang banyak disekitar badannya, termasuk pada lampu hadapan yang turut nampak seperti huruf ‘H’.

Pada bahagian kabin pula, pemandu trak pikap ini akan menerima maklumat dari papan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, sementara untuk infotainmen pula diberikan skrin lebih besar bersaiz 13.4-inci, yang turut akan memaparkan maklumat untuk fungsi kelengkapan off-road termasuk status permukaan jalan, output tork, fungsi pengunci differential, tekanan tayar, sudut pitch dan roll termasuk nilai maksimum, tolok drift (dengan nilai maksimum), torque vectoring dan pelbagai lagi.

Lagi fungsi istimewa untuk Edition 1, ia turut menampilkan fungsi ‘Watts to Freedom’. Fungsi ini akan merendahkan badan trak pikap tersebut sehingga 50 mm, kemudian akan ‘membebaskan’ kesemua 1,000 hp/15,591 Nm bagi membolehkan pecutan 0-96 km/j tersebut dicapai dalam masa sekitar tiga saat.

Ia juga diberikan Drive Mode Control yang membolehkan pemandu mengawal aliran tork antara gandar hadapan dan belakang, tetapan sistem stereng empat-roda, dan juga Terrain Mode yang membolehkan ketinggiannya naik lagi 50 mm.

Model Edition 1 juga menerima tailgate jenis Multipro yang boleh ditetapkan dalam enam posisi berlainan, manakala tingkap kaca belakang dan juga pelindung tonneau boleh dibuka dan ditutup dengan bantuan kuasa elektrik.

Produksi untuk GMC Hummer EV ini akan bermula lewat tahun hadapan di kilang Factory Zero Detroit-Hamtramck Assembly Center milik General Motors. Kilang yang sudahpun berusia 40 tahun tersebut telah pun diubahsuai dengan kelengkapan terkini membabitkan kos pelaburan US$2.2 bilion (RM9.1 bilion) bagi membolehkan ia menghasilkan kenderaan-kenderaan elektrik.

Menurut GMC lagi, kilang ini akan terus digunakan untuk menghasilkan model-model pencemaran sifar pada masa akan datang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required