Selain data jualan kenderaan untuk Julai 2020, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut mengeluarkan data yang sama untuk bulan Ogos. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, pada Ogos lalu, MAA telah mula mengeluarkan laporan mengikut suku tahunan dan bukannya bulanan seperti yang dilakukan sebelum ini, sesuai dengan praktis terkini yang dilakukan oleh beberapa ahlinya. Justeru, pecahan data jualan mengikut jenama hanya akan dilaporkan mengikut suku tahun, bukannya pada setiap bulan seperti yang dilakukan sebelum ini.

Untuk Ogos 2020, sebanyak 52,800 unit telah dihantar sepanjang bulan itu, di mana ia kurang sebanyak 4,752 unit atau -8.2% berbanding 57,552 unit yang terjual pada Julai. MAA berkata penurunan ini terdorong dengan peningkatan tempahan pada Julai berikutan pengecualian cukai jualan kenderaan yang diumumkan oleh kerajaan pada pertengahan Jun lalu.

Empat jenama yang menduduki tangga teratas dalam carta juga mengalami penyusutan jualan jika dibandingkan dengan rekod pada Julai. Pendahulu carta, Perodua, menjual sebanyak 22,604 unit, iaitu kurang 2.6% jika dibandingkan dengan jualan pada Julai sebanyak 23,303 unit.

Proton yang menduduki tangga kedua juga mencatatkan penyusutan jualan menjadi 11,378 unit (-13.9%) berbanding 13,216 unit pada bulan sebelumnya. Manakala Toyota di tangga ketiga pula dengan 5,686 unit (-23.5%), tidak jauh di hadapan Honda yang merekodkan jualan sebanyak 5,661 unit (-5.6%).

Nissan yang berada di tangga kelima juga mengalami penyusutan jualan walau pun berbeza satu unit dengan rekod pada Julai. Manakala Mazda pula berjaya menjual lebih tiga unit berbanding bulan sebelumnya.

Renault pula mengalami peningkatan jualan sebanyak 51.15%, berbanding Kia yang menyusut sebanyak 49.5%. Dua jenama premium iaitu Volvo dan Porsche juga menunjukkan penyusutan jualan masing-masing sebanyak -27.6% dan -34.6%.

Juga seperti yang dilaporkan pada Ogos lalu, di mana Mercedes tidak melaporkan angka bagi suku kedua, dan nampak gayanya syarikat ini juga tidak mendedahkannya bagi suku ketiga. Manakala BMW dan MINI pula telah menukar laporan sukuan, jadi angka bagi bulan berkenaan masih kekal untuk separuh pertama 2020 dengan 2,543 unit. Akhir sekali, tiga jenama kenderaan komersil telah dimasukkan dalam senarai, iaitu
ZNA, DFSK dan DFAC.