Setelah tujuh tahun berada dalam pasaran, kita boleh jangkakan sudah sampai masanya untuk versi terbaru bagi Honda HR-V generasi seterusnya. Ini bukanlah rahsia, memandangkan sebelum ini sudah ada spyshot yang kelihatan. Dan, daripada situ, Theophilus Chin menghadirkan pula satu rekaan digital yang membayangkan HR-V terbaru itu.

Paling ketara, HR-V baru yang dibayangkan ini menerapkan rekaan yang cenderung lebih bersegi. Bingkai cermin makin bersegi, dan tiada lagi garis bahu yang biasa kita lihat pada SUV segmen B ini; ia digantikan dengan garis lurus dari lampu depan hingga lampu belakang. Pemegang pintu belakang bagaimanapun masih tersorok.

Di depan, bukaan gril lebih besar, dan bersambung terus pada lampu utama dalam rekaan trapezoid dan dilengkapi dengan palang melintang. Palang krom “Solid Wing Face” Honda juga ada diterapkan. Honda bagaimanapun tidak lagi menggunakan elemen berkenaan pada model terkini yang ada.

Bahagian belakang juga berubah agak ketara, dengan rekaan lampu yang lebih kurus (dengan elemen melintang pada kelebaran penuh) serta kemasan yang menonjol. Kedudukan nombor pendaftaran juga diturunkan sedikit lagi. Rim aloi dua-tona rekaan turbin melengkapkan imej HR-V ini.

Honda HR-V akan datang berkemungkinan besar akan menggunakan asas yang sama dengan Jazz dan City, bahkah sistem janaan kuasa hibrid juga mungkin sama – Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD). Motor elektriknya menghasilkan 109 PS/253 Nm, sementara enjin dengan janaan 98 PS/127 Nm dari unit 1.5 liter kitaran Atkinson yang akan mengambil alih ketika kelajuan tinggi. Pengesahan perincian lain tentulah akan diketahui ketika model berkenaan diperkenalkan secara rasmi nanti.