BMW Definition CE 04 skuter elektrik kegunaan urban

BMW Definition CE 04 skuter elektrik kegunaan urban

BMW Motorrad telah memperkenalkan skuter elektrik Definition CE 04, yang menjadi sebahagian daripada inisiatif kenderaan masa hadapan NEXTGen jenama itu. Ia dicipta untuk kegunaan jarak pendek di dalam bandar dan menggunakan falsafah komunikasi serta pengangkutan “plugged to life”.

Penggunaan elektrik pada jentera dua roda bukanlah perkara baru bagi BMW Motorrad kerana pada tahun 2014, mereka pernah memperkenalkan skuter elektrik C Evolution. Melalui model baru ini, mereka mengatakan ia sebagai satu “peralihan kepada ketersediaan untuk pengeluaran dengan rekaan yang hampir tidak berubah.”

Konsep rekaan Definition CE 04 ternyata unik dan menggunakan bentuk yang panjang serta banyak garisan tajam dan berlapis. Bateri yang memberikan kuasa kepada motor elektrik diletakkan rata dan rendah atas kerangkanya, sekaligus memberikan ruang yang lebih untuk simpanan barang di bawah tempat duduk.

BMW Definition CE 04 skuter elektrik kegunaan urban

Ruang ini boleh dibuka dari tepi dan diletakkan dengan lampu supaya pengguna mudah untuk meletakkan helmet atau barangan lain di dalamnya. Bateri yang rendah ini juga menghasilkan titik graviti yang lebih rendah, seterusnya menghasilkan pengendalian yang lebih mudah.

“Sebuah kenderaan harian yang praktikal untuk ditunggang dari rumah ke pejabat atau berjumpa dengan kawan di waktu petang – ringkasnya sebuah kenderaan yang sesuai untuk kegunaan harian dalam bandar,” kata ketua bahagian rekaan BMW Motorrad, Alexander Buckan. “Kumpulan sasaran urban biasanya bergerak dalam jarak pendek sekitar 12 km sehari. Disebabkan itu, keselesaan jarak jauh kurang penting berbanding ergonomik yang boleh diubah dan akses lebih mudah,” tambah Buckan.

Pemikiran ini membawa kepada rekaan tempat duduk rata “terapung”, yang membenarkan penunggang naik ke atas Definition CE 04 sama ada dari tepi ataupun belakang. Aspek praktikaliti dan mesra pengguna diambil penting pada Definition CE 04 dan ia dilengkapi dengan sistem sambungan antara kenderaan, penunggang dan telefon pintar.

Konsep ketersambungan ini dikembangkan lagi kepada pakaian penunggang, di mana BMW turut memperkenalkan jaket yang sesuai digunakan setiap hari. Ia kalis air, fleksibel dan dilengkapi dengan lampu untuk menjadikan penunggang mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain. Warna lampu ini boleh berubah dan ia turut dilengkapi dengan pengecas induktif untuk telefon pintar di dalam poket.

Ketua bahagian rekaan BMW Motorrad, Edgar Heinrich memberitahu Definition CE 04 adalah pra tonton kukuh bagaimana bentuk kenderaan produksi kontemporari masa hadapan. “Kenderaan elektrik adalan sistem pacuan utama untuk BMW Group dan kami sentiasa bergantung kepada teknologi ini untuk strategi kelestarian kami. Pacuan elektrik juga adalah topik semasa BMW Motorrad, terutamanya dalam persekitaran urban.” tambah Heinrich.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required