Land Rover Discovery 2021 – enjin dipertingkatkan, barisan kedua tempat duduk diperbaharui

Land Rover Discovery 2021 – enjin dipertingkatkan, barisan kedua tempat duduk diperbaharui

Land Rover Discovery 2021 merupakan ahli terkini dalam famili Jaguar Land Rover yang menerima peningkatan kitaran hayat-pertengahan, selepas empat tahun SUV tujuh-tempat duduk generasi kelima itu diperkenalkan. Discovery facelift ini menerima peningkatan luaran yang menggambarkan versi terkini bagi off-roader yang turut digandingkan dengan Electrical Vehicle Architecture (EVA 2.0) ciptaan Land Rover sendiri.

Bahagian wajahnya juga telah diberikan sentuhan terkini termasuk digandingkan dengan lampu nyalaan siang LED baharu dengan unit tunggal, dan bampar hadapannya juga disemak semula dengan seksyen warna badan yang lebih lebar serta ditampilkan dengan corong pengambilan udara sisi baharu. Untuk belakangnya, ia menerima unit lampu baharu dan panel dengan kemasan hitam berkilat.

Empat enjin ditawarkan untuk Discovery 2021 ini, iaitu dua unit petrol dan dua unit diesel, dengan enam-silinder dari famili enjin Ingenium. Ia bermula dengan unit P300 2.0 liter turbo petrol empat-silinder sebaris dengan 300 PS dan 400 Nm. Satu lagi pilihan unit petrol ialah P360 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris mild-hybrid dengan 360 PS dan tork 500 Nm.

Manakala pilihan untuk enjin diesel ialah unit 3.0 liter turbodiesel enam-silinder sebaris mild-hybrid dengan dua talaan. Unit D250 mampu menghasilkan kuasa 249 PS dan tork 570 Nm, sementara D300 pula dengan 300 PS dan 650 Nm. Seperti sebelum ini, kesemua enjin tersebut dipadankan dengan transmisi auto lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

Varian enam-silinder bagi Discovery facelift ini turut menampilkan advanced driveline yang mengeluarkan hos penderia untuk menguruskan pecahan tork antara gandar hadapan dan belakang untuk menyesuaikan dengan keadaan.

Peredam adaptif memantau pergerakan kenderaan sehingga 500 kali dalam tempoh sesaat, sementara Terrain Response 2 pula boleh digunakan bersama Configurable Terrain Response yang membolehkan pemandu untuk menala parameter seperti throttle mapping, gearbox shift points, larasan stereng dan suspensi.

Varian dengan kemasan R-Dynamic juga ditawarkan, yang boleh dikenalpasti dengan serlahan luaran dalam warna hitam berkilat dan Shadow Atlas. Sementara bahagian dalaman ditampilkan dengan upholstery kulit dua-tona dan jahitan kontras pada tempat duduk. Kabin juga dilengkapi Seat Fold Technology yang membolehkan bentangan tempat duduk dikonfigurasi menerusi skrin sesentuh sentral.

Bahagian pemandu juga menerima Interactive Driver Display 12.3-inci yang turut memaparkan pemetaan 3D dalam definisi tinggi, yang membolehkan skrin sesentuh sentral turut mengawal aplikasi lain. Paparan instrumen digital juga boleh dikonfigurasi untuk menunjukkan dail konvensional, navigasi 3D dalam skrin penuh atau gabungan kedua-duanya sekali.

Sementara itu, sistem infotainmen Pivi Pro juga telah dipertingkatkan dengan struktur menu yang lebih dipermudahkan, dan turut menempatkan bateri binaan-dalam yang membolehkan navigasi dihidupkan lebih pantas, ujar Land Rover.

Teknologi dwi-sim dengan dua modem LTE pula membolehkan pengemaskinian yang boleh dimuat turun pada masa yang sama seperti kemas kini Software Over-The-Air (SOTA) dan menurut Land Rover, teknologi SOTA membolehkan pemilik untuk kemas kini sehingga 44 model individual tanpa pergi ke pusat servis.

Keselesaan untuk barisan kedua-tempat duduk juga telah dipertingkatkan, hasil rekaan semula tempat duduknya yang menambah baik sokongan sisi, dengan kusyen yang lebih panjang dan tebal. Malah semua tempat duduknya juga ditampilkan dengan sokongan belakang yang lebih tegar dan menambahbaik fostur untuk penumpangnya.

Corong pendingin hawa untuk barisan kedua juga telah dialih dari tiang-B ke konsol tengah, dan penumpang kini mempunyai kawalan aliran udara dan punca bekalan kuasa sendiri. Ruang penyimpanan barang juga mencecah 2,485 liter maksimum, atau 258 liter sekiranya kesemua tujuh-tempat duduk berada dalam keadaan biasa.

Varian Commercial

Sebagai SUV terkini Jaguar Land Rover, Discovery 2021 ini juga menerima Activity Key generasi kedua dengan kawalan skrin sesentuh dan jam digital, yang juga boleh mengunci, membuka kunci dan menghidupkan kenderaan.

Kamera pandangan hadapan pada bahagian luaran Discovery 2021 pula boleh merakam ClearSight Ground View di mana ia membolehkan pemandu melihat keadaan jalan menerusi bonet bagi menambah baik penglihatan ketika merentasi laluan off-road yang curam dan juga halangan yang tidak kelihatan, ujar Land Rover.

Land Rover Discovery facelift 2021 didatangkan dengan tahap kemasan Discovery, S, SE HSE dan R-Dynamic, serta barisan facelift ini turut menampilkan varian Commercial yang menambah bahagian kargo pada barisan kedua, membuatkan ia hanya ada
dua tempat duduk sahaja.

Varian Commercial ini menempatkan ruang kargo berkapasiti 2,024 liter, dengan ciri tambahan termasuk ruang penyimpanan barang di bawah lantai dan mempunyai kapasiti tundaan sehingga 3,500 kg sama seperti barisan Discovery yang lain. Harga bagi Discovery 2021 ini bermula dari GBP53,665 (RM291,364) untuk pasaran United Kingdom.

Land Rover Discovery Commercial 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required