Honda Scoopy tidak dijual di Malaysia tetapi di beberapa negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, model ini telah melalui beberapa generasi. Kini, muncul model generasi kelima yang yang melibatkan peningkatan menyeluruh termasuk rekaan, enjin, rangka serta kelengkapannya.
Bermula pada rangka, Scoopy 2021 sekarang menggunakan rangka baru eSAF (enhanced Smart Architecture Frame) yang dapat menjadikannya lebih ringan, lincah dan mudah dikawal. Berat keseluruhan skuter ini adalah 95 kg dan ia didatangkan dengan tangki bahan api 4.2 liter (lebih besar berbanding sebelumnya).
Semua panel badan skuter ini adalah baru, tetapi ia masih mengekalkan identitinya, dengan rekaan yang beralun serta lampu bulat yang besar. Kini, lampu itu menggunakan unit LED projector dan ia ditawarkan dalam pilihan lapan warna yang elegan dan ranggi.
Untuk enjin, Scoopy 2021 dipertingkat dengan unit eSP (enhanced Smart Power) 110 cc SOHC suntikan bahan api PGM-FI yang mampu menghasilkan kuasa 9 PS pada 7,500 rpm dan 9.3 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini juga dipasang dengan sistem Idling Stop System (ISS) dan mampu memberikan penggunaan bahan api sehingga 59 km/l.
Kelengkapan lain yang hadir pada Scoopy 2021 adalah termasuk pengecas USB di dalam kotak konsol, panel meter digital, rim 12 inci dengan tayar 100/90 dan 110 /90, brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang, satu penyerap hentak di belakang, ruang simpanan 15.4 liter di bawah tempat duduk dan sistem kunci pintar untuk varian paling tinggi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.