Bagi setiap satu rekaan yang digunakan untuk produksi, ia pastinya terdiri daripada banyak lagi rekaan yang terhasil di studio yang kesudahannya tidak pernah ditunjuk kepada umum. Tapi, lain ceritanya dengan Porsche; jenama itu kini mendedahkan beberapa rekaan kajian rekaan yang pernah dihasilkan untuk kali pertama.
Syarikat itu menunjukkan 15 kenderaan yang terhasil dalam tempoh 14 tahun, dari 2005 hingga tahun lalu. Semua produk yang tidak pernah dikeluarkan ini diperincikan dalam sebuah buku baru, Porsche Unseen, dan turut akan dipamerkan di Porsche Museum tahun depan. Tiga rekaan awal yang mula ditunjukkan adalah dari studio Weissach.
Paling unik ialah 919 Street, sebuah percubaan untuk memperkemaskan lagi teknologi daripada jentera 919 Hybrid untuk jalanan. Model tanah liat dengan skala 1:1 ini, yang dibuat pada tahun 2017, mempunyai dimensi yang sama seperti prototaip yang dibayangkan akan menggunakan kerangka monocoque karbon dan sistem janaan 900 PS yang pernah membantu pasukan memenangi Le Mans sebanyak tiga kali sebelum ini.
Ia sebuah kereta yang sangat menarik, kerana ia menunjukkan Porsche juga sekurang-kurangnya turut pernah mempertimbangkan sebuah hypercar tercanggih, dengan semangat yang sama seperti Aston Martin Valkyrie dan Mercedes-AMG One. Ia juga memberi petunjuk kepada dunia lain kerana syarikat itu masih ikut serta di dalam perlumbaan endurans paling sengit, memandangkan World Endurance Championship (WEC) akan beralih kepada formula hypercar berasaskan jentera jalanan tahun depan.
Kereta seterusnya ialah Vision Spyder 2019, sebuah roadster dengan enjin di tengah yang diilhamkan oleh RS Spyder 550-1,500 tahun 1954. Perincian klasik seperti garis merah pada badan, logo Mobil, sisip belakang dan penutup enjin telah dipertemukan dengan sentuhan rekaan baru misalnya pada lampu utama bersegi, lampu belakang kelebaran penuh dan penggunaan rollbar. Kereta yang dilihat ini berskala 1:1 model sebenar.
Rekaan yang paling “aneh” pula mungkin Renndienst, model sebenar skala 1:1 yang dibina pada 2018. Namanya jika diterjemahkan bermaksud “racing service” dan kenderaan berkotak ini diilhamkan oleh Volkswagen Transporter yang digunakan oleh pasukan Porsche. Cadangan awalnya termasuklah sistem janaan kuasa elektrik sepenuhnya dan mempunyai hingga enam tempat duduk. Menarik? Macam mana pula agaknya rekaan-rekaan lain yang belum pernah ditunjukkan?
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.