Makluman untuk penumpang MRT yang terlibat, pada hujung minggu ini iaitu 14-15 November 2020, terdapat tiga stesen MRT bakal ditutup bagi memberikan laluan kerja-kerja migrasi untuk Laluan MRT Putrajaya.
Stesen yang terlibat ialah Stesen Kwasa Damansara, Kampung selamat dan Sg Buloh, di mana ia adalah tiga perhentian terakhir (atau terawal) bagi Laluan MRT Kajang. Untuk stesen Kwasa Damansara, ruang parkir juga akan ditutup. Walau bagaimana pun ruang parkir bertingkat di Stesen Sg Buloh dibuka seperti biasa.
Sepanjang penutupan sementara ini, perkhidmatan MRT akan berakhir di Stesen Kwasa Sentral. Perkhidmatan bas perantara secara percuma akan digerakkan untuk ke Stesen Sg Buloh, dan dalam perjalanan akan berhenti di Kg Selamat. Kekerapan bas perantaran tersebut adalah setiap 15 minit.
Laluan MRT Putrajaya, atau sebelum ini dikenali sebagai Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) telah pun mencapai 80% siap. Fasa pertama untuk laluan berkenaan adalah dari Kwasa Damansara ke stesen Kampung Batu dijangka boleh beroperasi pada pertengahan 2021, dan laluan selebihnya direncana boleh dibuka pada tahun 2022.
Laluan MRT Putrajaya merangkumi jarak 52.2 km keseluruhannya – dengan 38.7 km laluan bertingkat dan 13.5 km laluan bawah tanah. Fasa pertama bagi laluan ini yang menelan belanja RM32 bilion dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga 2021 sebelum selesai sepenuhnya pada 2022. MRT pertama dengan laluan Sg Buloh-Kajang telah beroperasi sejak Julai 2017.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.