Walaupun Proton X50 tampil dengan penggayaan yang sudah agak kemas dan sporty, tapi untuk sesetengah orang itu masih belum cukup. Kami pernah alih perhatian anda kepada satu contoh sebelum ini, dan kini ada satu lagi rekaan dengan imaginasi yang lebih radikal dan agresif diberikan kepada SUV segmen B berkenaan oleh Durian Works.

Tiga tahun dulu, mereka pernah hasilkan rekaan baru digital bagi Perodua Myvi. Kini hal-hal yang dikustom pada X50 lebih ekstrim, dengan wajah depan berbeza dan dikenali sebagai “Rebel Edition”.

X50 Durian Works ini menerima rekaan gril baru dengan jalur berkembar dan elemen mesh yang nampak rumit, walaupun perincian merahnya dikekalkan. Rekaan lampu utama projektor berkembar juga diberi sentuhan baru, manakala perincian krom asal yang ada dijadikan warna hitam.

Namun, bahagian bamparlah yang menerima perubahan paling ketara, dengan bahagian hitam yang dilanjutkan serta jalur yang menempatkan lampu nyalaan siang tambahan. Jalur berkenaan dipanjangkan dengan kemasan hitam pada sisi bamparnya, sementara lip hitam pula menggunakan warna badan.

Di bahagian sisi, pelindung keliling badan berwarna hitam disertakan, sementara jalur krom atas tingkap telah diwarnakan merah. Seperti X50 yang diubahsuai sebelum ini, versi ini juga diberikan rim saiz 20-inci, dengan rekaan ala Lamborghini. Melengkapi rekaan di tepi ialah rekaan grafik warna perak.

Di belakang pula, rekaan umum X50 nampaknya dikekalkan sebaik mungkin, terutama pada bahagian pintu kargo, dengan spoiler standard dibesarkan sedikit. Lampu pula dihubungkan oleh satu jalur yang melanjutkan grafik tiga lampu yang ada, sementara perumah lampu itu digelapkan.

Bukan itu saja, jalur asal krom yang menghubungkan lampu kini dijadikan warna hitam, sementara jalur dengan warna badan ditambah pada bahagian diffuser. Empat muncung ekzos yang bersepadu juga datang dengan rekaan bersegi baru yang nampak seperti disambung di tengahnya. Proton X50 telahpun dilancarkan bulan lalu, dengan harga antara RM79,200 hingga RM103,300. Anda ada idea lain untuk ubah suai penampilan X50 ini?