Infiniti QX55 2022 didedah, mula dijual tahun depan

Infiniti QX55 2022 didedah, mula dijual tahun depan

Infiniti telah mula menunjukkan SUV baru keluaran syarikat itu, QX55 yang sekali gus menandakan kehadiran semula jenama itu ke dalam segmen crossover-coupe selepas QX70. Sebaik sahaja memasuki pasaran tahun depan, QX55 akan ditawarkan dalam tiga varian; Luxe, Essential dan Sensory.

Rekaan asasnya disandarkan pada model FX yang muncul 17 tahun lalu. Dengan landasan bumbung yang tirus dan spoiler belakang yang sproty, garis bumbung SUV ini adalah sebagai memperingati rekaan lama tersebut, tetapi diberikan sentuhan pembaharuan sesuai dengan dekad ini.

Sentuhan rekaan lainnya juga lebih segar dan moden. Gril dengan ilham dari lipatan origami menjadi cap mohor terbaru bagi kenderaan ini. Lampu utama LED pula hadir dalam rekaan yang lebih kurus, serta elemen pada bonet dengan garisan yang terarah ke bahagian fender depan.

Infiniti QX55 2022 didedah, mula dijual tahun depan

Dari sisi, bentuknya kekal menarik dengan rim 20-inci dan profil tayar 255/45 – saiz tayar standard untuk semua varian. Di belakang, bahagian diffuser menggunakan warna badan, dua muncung ekzos serta rekaan lampu yang khas – setiap satunya terdiri daripada 45 LED.

Setakat pengenalan rasminya ini, Infiniti memaklumkan hanya ada satu sistem janaan kuasa bagi QX55, iaitu unit KR20DDET 2.0 liter turbocas empat-silinder yang menghasilkan sebanyak 268 hp pada 5,600 rpm dan 380 Nm dari 4,400 rpm hingga 4,800 rpm. Ia digandingkan bersama transmisi CVT. Bagi pasaran Amerika Utara, ia turut datang dengan sistem Intelligent All-Wheel-Drive.

Di dalam, kedudukan papan pemukanya agak rendah, menyediakan penglihatan ke luar yang jelas kepada pemandu dan penumpang. Di tengah ialah paparan sistem Infiniti InTouch dengan skrin sentuh terpisah – lapan-inci di atas dan tujuh-inci di bawah – untuk kawalan infotainmen dan kawalan kenderaan.

Kelengkapan standard termasuk kerusi depan “zero gravity” dengan pemanas dan larasan lapan-hala, bumbung gelas kuasa elektrik dan kawalan pendingin hawa dua-zon. Material balutan kerusi terdiri daripada kulit (bergantung pada varian) dengan pilihan tiga warna ruang dalaman Graphite, Stone/Graphite dan Monaco Red/Graphite.

Perincian kemasan juga berbeza mengikut varian. Luxe dan Essential hadir dengan kemasan aluminium gelap pada bahagian panel instrumen dan pintu, manakala Sensory menggunakan kemasan kayu Natural Maple. Varian paling asas datang dengan sistem audio enam-pembesar suara, sementara dua varian yang lebih tinggi dengan 16-pembesar suara Bose Performance.

Pelbagai tenologi sambungan ditawarkan, antaranya sistem InTouch yang menyambung telefon melalui Bluetooth, empat slot USB (satu Type-C dan tiga Type-A), sambungan tanpa wayar bagi Apple CarPlay dan Android Auto serta sambungan 4G LTE untuk wifi.

Infiniti QX55 2022 didedah, mula dijual tahun depan

Alat bantu pemanduan pula antaranya tersedia ciri amaran penukaran lorong, amaran perlanggaran hadapan, brek kecemasan autonomous dengan pengesan pejalan kaki, peringatan titik buta, bantuan lampu tinggi, amaran lintasan trafik di belakang dan brek belakang automatik.

Lapan warna luaran ditawarkan bagi QX55 ini, iaitu Dynamic Sunstone Red, Slate Gray, Majestic White, Liquid Platinum, Graphite Shadow, Mineral Black, Black Obsidian dan Hermosa Blue. Infiniti QX55 akan mula dijual di pasaran Amerika Utara pada musim bunga tahun depan, disusuli kemudiannya oleh pasaran lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required