Tradisi Ducati memperkenalkan versi edisi terhad untuk jentera berprestasi tinggi mereka diteruskan lagi dengan pengenalan Panigale V4 SP 2021. Ia hanya akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, dengan nombor keluarannya diukir atas bahagian triple clamp.

Model yang menggantikan V4 R ini juga didatangkan dengan pelbagai peningkatan, bermula pada bahagian rim, yang menggunakan unit gentian karbon 1.4 kg lebih ringan. Kemudiannya, superbike ini juga menggunakan warna khas Ducati Winter Test yang terdiri daripada warna hitam matte, jalur merah serta kemasan brushed aluminium pada tangki.

Angkup Brembo Stylema R jenis radial digunakan pada brek hadapan, bersama master cylinder brek dan klac Brembo MCS yang boleh bleeding sendiri demi memastikan prestasi yang terbaik waktu penggunaan agresif. Enjin V4 Desmosedici Stradale 1,103 cc yang berkuasa 214 hp pada 13,00 rpm dan 124 Nm tork pada 9,500 rpm pada Panigale V4 SP ini dipadankan bersama transmisi enam kelajuan serta klac kering STM-EVO SBK dan juga quickshifter DQS EVO 2.

Kelengkapan prestasi lain yang digunakan pada model ini adalah termasuk peletak kaki boleh laras yang dibuat daripada aluminium billet, serta penggunaan gentian karbon pada sayap tepi, pelindung klac jenis terbuka serta mudguard hadapan. Turut diberi adalah penutup untuk tempat meletak nombor plet serta tapak cermin sisi, sementara modul Ducati Data Analyzer+ dengan fungsi GPS pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

Suspensi Panigale V4 SP menggunakan unit daripada Ohlins, dengan fork NIX-30 di hadapan, monoshock TTX36 di belakang dan damper yang semuanya boleh dikawal secara elektronik melalui sistem Ohlins Smart EC 2.0. Berat keseluruhan model ini adalah 194 kg dan ia cuma datang dengan satu tempat duduk kerana cuma boleh digunakan di dalam litar.

Senarai panjang sistem elektronik Panigale V4 SP kini ditambah dengan satu lagi mod tunggangan iaitu Race. Ia membenarkan penunggang menyimpan dan memilih dua pemetaan enjin serta tetapan suspensi – Race A dan Race B – sekaligus memudahkan penggunaan di dalam litar.