Ducati Supersport 2021 guna panel badan, lampu baru

Ducati Supersport 2021 guna panel badan, lampu baru

Sportsbike Ducati yang direka untuk menjadi lebih selesa dan sesuai digunakan hari-hari iaitu Supersport 950 telah diberikan naik taraf untuk tahun 2021, dengan yang paling utama adalah pada bahagian panel badan, demi mengurangkan rasa panas kepada penunggang.

Rupanya sekarang lebih hampir kepada Panigale dengan lampu jenis LED dan DRL, panel tepi yang lebih panjang dan menutupi bahagian tengah ekzos, serta tambahan sirip udara pada panel tepi. Menurut Ducati, rekaan ini mengambil penting aspek pengurusan haba dan memberikan udara yang lebih sejuk kepada kaki penunggang. Penghadang angin di hadapan pula boleh dilaras dalam dua kedudukan.

Enjin masih lagi sama, iaitu unit V-twin Testastretta 11 937 cc tetapi sedikit perubahan dibuat pada bahagian kemasukan udara dan ekzos demi menjadikannya menepati tahap emisi Euro 5. Kuasa tidak berubah dan masih lagi 110 hp pada 9,000 rpm dan 93 Nm tork pada 6,500 rpm.

Ducati Supersport 2021 guna panel badan, lampu baru

Supersport ditawarkan dalam dua versi iaitu versi asas Supersport 950 dan di atasnya terdapat Supersport 950 S. Beza utama antara dua model ini adalah suspensi, di mana Supersport 950 menggunakan fork Marzocchi 43 mm yang boleh dilaras sepenuhnya bersama monoshock Sachs dengan pelarasan pra beban serta lantunan, sementara Supersport 950 S mendapat fork Ohlins 48 mm yang boleh dilaras sepenuhnya serta monoshock Ohlins.

Bahagian brek tidak berubah, di mana Supersport 2021 masih lagi menggunakan cakera berkembar 320 mm serta angkup Brembo M4.32 di hadapan, dan cakera 245 mm serta angkup dua piston di belakang. Sistem Cornering ABS oleh Bosch diberikan secara standard.

Pada bahagian kokpit, panel paparan LCD sebelum ini telah diganti dengan unit TFT-LCD berwarna penuh yang boleh disambungkan kepada pelbagai multimedia sekiranya pemilik mendapatkan kit Ducati Multimedia System yang dijual secara berasingan.

Sistem bantuan penunggang pada motosikal ini dikawal oleh unit pengukur inertia (IMU), termasuklah fungsi Traction Control serta Wheelie Control, dan ia juga disediakan dengan tiga mod tunggangan serta quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear.

Tinggi tempat duduk standard untuk Supersport 950 adalah 801 mm dan tempat duduk yang lebih rendah, iaitu 790 mm disediakan sebagai pilihan sekiranya pemilik mahu. Bentuk tempat duduk ini juga telah diubah supaya menjadi lebih selesa.

Berat keseluruhan Supersport 950 masih tidak berubah, iaitu 210 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 16 liter. Pilihan warna yang diberikan untuk Supersport 950 cuma ada satu, iaitu Ducati Red sementara Supersport 950 S pula boleh dipilih dalam warna Ducati Red ataupun Artic White Silk.

GALERI: Ducati Supersport 950 2021

GALERI: Ducati Supersport 950 S 2021


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required