Pengeluar motosikal dari Thailand, GPX Racing telah melancarkan skuter pertama mereka yang dihasilkan dengan kerjasama SYM, dipanggil sebagai Drone. Keseluruhan reka bentuk skuter ini adalah idea GPX sendiri sementara pembangunan teknikalnya dibuat oleh SYM.

GPX Drone dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api satu silinder 149.6 cc, dan dipadankan bersama transmisi jenis CVT. Berat keseluruhan skuter ini adalah 140 kg dan ia didatangkan dengan tangki bahan api 7.5 liter dan ruang barangan bawah tempat duduk 18 liter (boleh memuatkan helmet fullface).

Selain bentuk badan yang sporty dan dinamik, Drone juga didatangkan dengan kelengkapan canggih seperti sistem kunci pintar bersama penggera, semua lampu jenis LED dengan DRL di hadapan, penghadang angin hadapan jenis smoked, pengecas USB serta panel meter LCD digital penuh.

Rim yang digunakan adalah bersaiz 14 inci, dengan tayar 100/90 di hadapan dan 110/80 di belakang, dan pada kedua-dua roda ini terdapat brek cakera yang masing-masing bersaiz 260 mm dan 220 mm. Fork hadapan menggunakan jenis teleksopik biasa sementara di belakang pula terdapat dua penyerap hentak dengan tiga tahap pelarasan pra beban.

GPX Drone dijual pada harga 65,900 baht di Thailand (RM8,895), bersama jaminan tiga tahun atau 30,000 km, dan ditawarkan dalam enam pilihan warna.