Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media hariannya sebentar tadi telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk negeri Melaka, Johor, Kedah dan Terengganu bakal ditamatkan lebih awal iaitu pada esok, 21 Nov 2020.

Menurut beliau keputusan ini diambil berdasarkan penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyifatkan kadar jangkitan Covid-19 di empat negeri berkenaan adalah terkawal buat masa ini.

Walau bagaimanapun, hanya Melaka dan Terengganu yang diisytiharkan PKPB tamat untuk semua daerah dalam negeri, manakala Johor dan Kedah masih ada daerah yang masih berada dalam PKPB.

Di Kedah, daerah Kulim setakat ini masih lagi merekodkan 23 kes Covid-19 yang masih aktif, manakala di Johor pula daerah Kota Tinggi dan Mersing masing-masing masih mencatatkan 36 dan 8 kes Covid-19 yang masih aktif. Justeru, tiga daerah ini akan meneruskan PKPB dalam tempoh dua minggu lagi.

Namun Ismail menjelaskan bahawa situasi untuk tiga daerah berkenaan akan dipantau dari masa ke masa, dan ia akan ditamatkan lebih awal jika kadar jangkitan berkurangan. Beliau turut mengingatkan kawasan-kawasan yang sudah bebas dari PKPB masih lagi mengikut SOP yang ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Awal bulan ini Ismail telah mengumumkan bahawa PKPB akan dilaksanakan di seluruh Malaysia kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis bermula 9 November hingga 6 Disember berikutan kes jangkitan Covid-19 yang meningkat semula dalam negara.