Kawasaki Ninja ZX-10R dan ZX-10RR 2021 didedah

Kawasaki Ninja ZX-10R dan ZX-10RR 2021 didedah

Kawasaki Ninja ZX-10R 2021 akhirnya diperkenalkan secara rasmi. Walaupun rupanya sangat berbeza berbanding model tahun 2020, ia masih adalah sebuah model yang dipertingkat dan bukannya model serba baru. Selain versi biasa ZX-10R, satu lagi versi yang lebih fokus kepada penggunaan litar iaitu ZX-10RR turut diperkenal.

Fairing baru yang digunakan pada ZX-10R ini lebih mementingkan ciri aerodinamik, di mana daya tolakan ke bawahnya (downforce) bertambah baik 17% dan mempunyai winglet tepi bersepadu. Lampu LED berkembar yang digunakan juga adalah lebih kecil sementara penghadang angin hadapan kini 40 mm lebih tinggi.

Enjin empat silinder DOHC 999 cc pada model ini sekarang menepati tahap emisi Euro 5, tetapi kuasanya tidak terjejas dan masih mampu menghasilkan 203 PS pada 13,200 rpm dan 114.9 Nm tork pada 11,400 rpm. Bagi model ZX-10RR, enjin ini dipertingkat lagi dengan intake, cam dan spring injap baru, serta piston lebih ringan daripada Pankl, sekaligus membolehkan ia dikerah sehingga rpm lebih tinggi, iaitu 14,700 rpm.

Kawasaki Ninja ZX-10R dan ZX-10RR 2021 didedah

Nisbah gear pada transmisi enam kelajuan ZX-10R telah diubah dengan tiga gear pertama dijadikan lebih pendek untuk lebih pecutan waktu mula memecut dan di pertengahan, sementara sprocket pula ditukar menjadi lebih besar, daripada 39 mata sebelum ini, menjadi 41.

Kedudukan menunggang dijadikan lebih agresif dengan tapak peletak kaki yang diubah manakala tempat duduk pula dijadikan lebih tinggi di bahagian belakang bagi mengurangkan seretan angin apabila penunggang menunduk.

Pada bahagian casis, beberapa perubahan dibuat termasuk swingarm 8 mm lebih panjang, sudut fork 2 mm lebih tegak dan tapak swingarm 1 mm lebih rendah. Suspensi menggunakan unit dari Showa yang terdiri daripada fork BFF (Balance Free Front Fork) di hadapan dan monoshock BFRC lite (Balance Free Rear Cushion) di belakang. Kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya.

Pada bahagian kokpit, ZX-10R 2021 hadir dengan skrin TFT berwarna baru yang boleh disambung dengan Bluetooth sementara mod tunggangan pula terdiri daripada Sport, Road, Rain dan empat mod Rider yang boleh diubah. Model ini juga datang dengan fungsi cruise control serta Traction Control yang dikawal oleh IMU.

Brek terdiri daripada unit cakera berkembar 330 mm berserta angkup Brembo M50 di hadapan manakala di belakang terdapat çakera 220 mm berserta angkup satu piston. Berat keseluruhan ZX-10RR 2021 adalah 207 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 17 liter.

Bagi model ZX-10RR, selain bahagian dalaman enjin yang diubah, ia juga dilengkapi dengan rim aluminium forged Marchesini serta tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP. Model lebih berprestasi ini cuma akan dihasilkan sebanyak 500 unit sahaja.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required