Volkswagen Arteon eHybrid plug-in hybrid dilancarkan

Volkswagen Arteon eHybrid plug-in hybrid dilancarkan

Volkswagen Arteon 2021 yang telah pun diperkenalkan pada Jun lalu kini tampil dengan varian plug-in hybrid. Volkswagen Arteon eHybrid turut boleh didapati dengan versi Shooting Brake, yang telah dilancarkan di pasaran negara kelahirannya.

Arteon PHEV menggabungkan enjin 1.4 TSI, motor elektrik, bateri lithium-ion 13-kWh dan juga transmisi DSG enam-kelajuan. Hasil gabungan tersebut memberikannya kuasa sehingga 218 PS dan tork 400 Nm, membolehkan model ini dipecut dari 0-100 km/j dalam catatan masa 7.8 saat dan kelajuan maksimum pula 222 km/j. Tiada perincian pengecasan diberikan, tetapi Passat GTE boleh dicas penuh dalam tempoh empat jam dengan penggunaan stesen pengecasan atau wall box dengan kadar 360 V/3.6 kW.

Arteon eHybrid juga dikatakan memilik jarak semua-elektrik sehingga 59 km (57 km untuk Shooting Brake), membenarkan perjalanan dilakukan dengan sifar emisi. Kajian yang dilakukan oleh kerajaan Jerman menunjukkan hampir 95% untuk semua perjalanan kereta setiap hari lebih pendek daripada 50 km. Bagi model ini, kelajuan tertinggi dalam mod EV adalah 130 km/j dan jarak keseluruhan yang boleh dicapai adalah melebihi 900 km.

Volkswagen Arteon eHybrid plug-in hybrid dilancarkan

Seperti yang dimaklumkan, Arteon eHybrid ditawarkan dengan dua bentuk badan, dan pemiliknya juga boleh memilih tahap kemasan Elegance atau R-Line. Setiap satunya memiliki bampar dan roda aloi 18-inci tersendiri, bersama lampu utama LED dengan Light Assist (dengan kawalan lampu tinggi automatik) dan lampu membelok dinamik dengan kluster lampu belakang LED.

Di dalamnya, ia diberikan tempat duduk kulit/Alcantara, kemasan kayuan asli (Elegance) atau metal (R-Line), perumah pedal dengan rupa aluminium, dan touch island pada roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit. Selain itu, ciri standard lain termasuk pemilih profil pemanduan, fungsi pemanas pada tempat duduk hadapan dan bantuan parkir hadapan/belakang Park Assist.

Setiap Arteon juga dilengkapi dengan Kawalan Kelajuan Adaptif, Bantuan Brek Kecemasan Sendiri, Paparan Isyarat Jalan Dinamik dan stereng progresif. Pakej kit dalaman standard pula merangkumi Digital Cockpit Pro (panel meter digital), sistem infotainmen Discover Media 8.0-inci dengan navigasi dan gelangsar sesentuh iluminasi untuk pendingin hawa automatik.

GALERI: Volkswagen Arteon eHybrid

Volkswagen Arteon Shooting Brake eHybrid R-Line 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required