Skuter yang ditunggu ramai, Yamaha NMax 2020 akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dengan harga pasaran RM8,998, tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Warna yang ditawarkan cuma ada dua iaitu kelabu dan merah, dan ia datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

NMax 2020 pertama kali diperkenalkan kepada dunia Disember tahun lepas di Indonesia, dan setelah memasuki beberapa pasaran lain, kita dapat melihat ada perbezaan pada spesifikasi termasuklah antara model yang dipasarkan di Thailand dan juga negara kita.

Untuk model baru ini, semua panel badannya adalah baru, bersama dengan lampu depan dan belakang LED serta panel meter LCD. Enjin pula masih lagi sama, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api, SOHC 155 cc VVA yang mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,000 rpm.

Jika dibandingkan dengan model pasaran Indonesia, NMax yang tiba di Malaysia kekurangan beberapa ciri termasuklah sistem sambungan Y-Connect, kawalan cengkaman, ABS, suspensi belakang dengan tabung gas serta sistem kunci pintar. Ini sekaligus menjadikan model yang tiba di negara kita sebagai antara yang paling ringkas di dalam Asia Tenggara.

Walaubagaimanapun, ia masih dilengkapi dengan sistem start/stop, soket pengecas 12V, tangki bahan api 7.1 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk 23.3 liter serta brek cakera depan dan belakang. Berat keseluruhan skuter ini adalah 130 kg dan ia menggunakan rim 13 inci di depan dan belakang.