Genesis GV70 ditampilkan sepenuhnya – serba mewah

Genesis GV70 ditampilkan sepenuhnya – serba mewah

SUV kedua daripada jenama mewah bawah Hyundai, iaitu Genesis GV70 akhirnya didedahkan secara rasmi sepenuhnya. Model yang lebih kecil daripada GV80 ini mempunyai ukuran panjang 4,715 mm, lebar 1,910 mm, tinggi 1,630 mm dan jarak roda 2,875 mm.

Walaupun berbeza saiz, ia masih menggunakan enjin sama dengan model lebih besar tersebut, iaitu unit petrol Smartstream T-GDI yang didatangkan dalam dua pilihan – empat silinder 2.5 liter berkuasa 304 PS dan 422 Nm tork, serta V6 3.5 liter berkuasa 380 PS dan 530 Nm tork. Satu lagi enjin adalah unit diesel 2.2 liter turbo dengan kuasa 210 PS dan 441 Nm tork.

Semua enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan, yang boleh dipilih dengan pacuan dua roda hadapan ataupun semua roda, kecuali untuk varian V6 kerana ia datang dengan AWD sahaja. Antara tiga enjin ini, model diesel memberikan penggunaan bahan api paling baik iaitu 13.6 km/l berbanding 10.7 km/l untuk 2.5L dan 8.6 km/l untuk model V6.

Genesis GV70 ditampilkan sepenuhnya – serba mewah

Daripada aspek rekaan, GV70 menggunakan konsep sama seperti model lain jenama ini, termasuklah lampu utama dan lampu belakang bertingkat, serta gril Crest. Bahagian dalam pula nampak lebih bersih dengan terdapat satu jalur kemasan yang bersambung dari tepi pintu sehingga ke tengah papan pemuka.

Di atas papan pemuka ini terdapat skrin infotainmen 14.5 inci yang diletakkan melintang sementara butang kawalan pendingin hawa serta lampu diletakkan dalam satu panel berlatar belakang hitam di bawahnya. Pemilih gear menggunakan tombol bulat yang terletak di konsol tengah, sementara rekaan stereng pula sama seperti GV80.

Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk panel instrumen TFT LCD 3D 12.3 inci, pengawal pendingin hawa empat zon (dengan corong serta kawalan tersendiri untuk bahagian belakang), sistem pembersih udara dua penapis, tempat duduk balutan kulit, lampu suasana serta tempat duduk berliang dengan ciri pemanas.

Genesis GV70 ditampilkan sepenuhnya – serba mewah

Selain versi standard, Genesis juga menawarkan GV70 dengan pakej Sport yang tampil lebih dinamik menggunakan gril krom gelap, bampar lebih sporty, bezel hitam, dua muncung ekzos hitam yang besar serta pilihan rim 19 atau 21 inci. Bahagian dalam juga menggunakan stereng khas tiga cabang, serta pilihan kemasan gentian karbon pada beberapa bahagian.

Model yang datang dengan pakej ini juga diberikan limited-slip differential elektronik (e-LSD) yang boleh mengagihkan tork untuk cengkaman terbaik dalam pelbagai keadaan. Bergantung kepada varian juga, GV70 boleh datang dengan suspensi adaptif, launch control serta mod pemanduan (Eco, Comfort, Custom, Sport dan Sport+).

Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi dengan Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Intelligent Speed Limit Assist (ISLA), Driver Attention Warning (DAW) and Forward Attention Warning (FAW), Navigation-Based Smart Cruise Control (NSCC), Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA) dan Parking Collision-Avoidance Assist (PCA).

Sistem menarik lain adalah Highway Driving Assist II (HDA II), yang merupakan satu ciri separa autonomous yang dapat membantu pemandu menukar lorong setelah menyalakan lampu penunjuk arah, dan Remote Smart Parking Assist yang membolehkan kenderaan masuk sendiri ke dalam kotak letak kenderaan dengan kawalan kunci jarak jauh oleh pemandu.

Seperti yang pernah diumumkan sebelum ini, GV70 mempunyai sistem pengenalan cap jari yang disambungkan dengan sistam bayaran atas talian serta beberapa fungsi lain seperti mod valet serta masuk dan memulakan enjin. Ia juga dilengkapi dengan sistem pengesan penumpang belakang (memberikan amaran sekiranya kenderaan telah dimatikan dan ada penumpang di belakang), serta AR Navigation yang memaparkan navigasi AR pada skrin infotainmennya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required