Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) bagi Musim Ke-empat bakal bermula pada Januari 2021 dengan format baharu, kini menampilan tiga siri perlumbaan yang berbeza, 11 perlumbaan dan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM420,000.

Festival TGR ini masih diteruskan dengan Vios Challenge, di mana kali ini ditambah dengan kategori baharu iaitu Rookie Class menjadikan keseluruhannya empat kategori termasuk yang sedia ada; Promotional, Sporting dan Super Sporting.

Bagi Promotional yang menampilkan barisan selebriti Malaysia, kali ini turut menerima tiga muka baharu dalam kategori tersebut iaitu aktor Zizan Razak, penyanyi dan penulis lagu Talitha Tan dan personaliti TV Ahirine Ahirudin.

Pelumba selebiriti lain yang masih meneruskan cabaran dalam kategori tersebut termasuklah
Shukri Yahaya, Janna Nick, Nabil Ahmad, Wany Hasrita, Nabila Razali and Khai Bahar, serta timbalan pengerusi UMW Toyota merangkap Ketua Pegawai Permotoran Gazoo Racing Akio Takeyama.

Untuk kategori baharu yang menyertai TGR kali ini, Rookie, disertai oleh enam pelumba hasil didikan Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing. Program tersebut merupakan yang pertama dilaksanakan oleh syarikat automotif di negara ini, ujar Toyota. Pelumba yang terpilih ialah Mika Hakimi, 17, Naquib Azlan, 20, Amer Harris, 17, Jwan Hii, 18, Putera Adam, 14, dan Troy Eimann, 16.

Manakala bagi Sporting pula yang merupakan kategori paling popular dalam Vios Challenge, seramai 18 pelumba telah mengesahkan penyertaan bagi musim ini. Ini termasuklah Bradley Benedict Anthony dari pasukan Dream Chaser, Sutan Haji Mustaffa, Kenneth Koh, Adam Khalid, Datuk Ken Foo, Lim Chun Beng dan Tom Goh.

Kategori tertinggi Super Sporting pula disertai oleh pelumba profesional termasuklah juara Vios Challenge sebanyak dua kali, Tengku Djan Ley yang kini kembali bagi mempertahankan kedudukannya, yang bakal berentap dengan juara kategori Sporting pada Musim 3 lalu iaitu Hayden Haikal yang kali ini menyertai kategori Super Sporting pula.

“Saya tidak sabar untuk berlumba dengan pelumba profesional.Pastinya ini akan memberikan pengalaman yang terbaik untuk saya, sekaligus menjadi penyumbang dalam pembelajaran bagi saya sebagai pelumba,” ujar Hayden, 16 tahun.

Pelumba lain yang turut menyertai Super Sporting termasuklah Boy Wong, Mark Darwin, Freddie Ang, William Ho, Kenny Lee, Keifli Othman, Syafiq Ali dan Brendan Paul Anthony.

Pusingan pembukaan bagi Musim 4 ini bakal berlangsung pada Januari ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dengan pusingan Kedua akan diadakan di lokasi yang sama pada Julai. Manakala pusingan ketiga dan terakhir pula pada September. Dikhabarkan pada penganjuran Malaysia Championship Series tahun hadapan turut akan memperkenalkan GR Vios Sprint Cup dan GR Vios Enduro Cup.