Petronas Dagangan baru sahaja melancarkan bahan api Petronas Primax 97 dengan Pro-Race yang dikatakan sebagai bahan api terbaik mereka. Petrol RON 97 4M ini sudah mula ditawarkan di seluruh negara, dengan kadar jualan semasa RM2.08 seliter mengikut harga mingguan dari 19 hingga 25 Disember.

Bahan api RON 97 ini menggantikan Primax 97 dengan Advanced Energy Formula yang ditawarkan sebelum ini sejak Ogos 2015. Menurut Petronas, bahan api yang dipertingkat ini telah dibangunkan untuk memenuhi permintaan enjin berteknologi masa kini dengan memberikan pengguna lebih kuasa, maklum balas serta prestasi yang cekap.

Bahan penting dalam formula baru ini adalah pakej aditif yang termasuk Advanced Dual Friction Modifier – pertama di dunia – yang diberitahu 25% lebih cekap dalam mengurangkan geseran berbanding bahan api sebelum ini. Ia meningkatkan interaksi bahan bakar dan minyak untuk meningkatkan kecekapan bahan api demi jarak perjalanan lebih jauh dan mengurangkan emisi karbon. Bahan api baru ini juga dapat menghapuskan 99.9% mendapan pada bahagian penting enjin.

“Petronas Primax 97 dengan Pro-Race adalah bahan api terbaik kami, memandangkan formulasi barunya direka untuk teknologi enjin yang maju dan memenuhi keperluan pemanduan berprestasi tinggi pelanggan sekarang. Selepas memindahkan teknologi bendalir dari litar ke jalanan, kami sangat teruja kerana akhirnya dapat membenarkan pelanggan merasai sendiri pemanduan lebih lancar, yang dapat dicapai melalui manfaat tiga dalam satu yang terdiri daripada kuasa, maklum balas serta kecekapan,” kata pengarah urusan dan CEO PDB, Azrul Osman Rani.

Bahan api ini mendapat banyak manfaat daripada pengalaman Petronas membangunkan teknologi bendalir untuk pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas, yang berjaya menjadi juara pengeluar sebanyak tujuh kali berturut-turut pada tahun 2020.

“Semangat bersaing di dalam litar adalah sangat tegang. Saya memerlukan bahan api yang dapat memberikan kami kuasa untuk bergerak lebih baik – apabila memecut, mengambil selekoh dan bila saya perlu untuk berada di hadapan. Petronas Primax 97 dengan Pro-Race adalah bahan api yang dapat memberikan kuasa kepada kereta, terutamanya apabila sangat diperlukan. Saya tahu apa maksud kuasa. Anda juga patutnya begitu,” kata juara F1, Lewis Hamilton.

Sebelum bahan api ini dilancarkan untuk pasaran, prestasinya telah dinilai sendiri oleh pelanggan melalui satu acara ujian tanpa mengetahui produk sebenarnya. Ia dilakukan dalam keadaan dunia sebenar, dan hasilnya, dua daripada tiga peserta program tersebut dapat merasakan prestasi lebih baik daripada Petronas Primax 97 dengan Pro-Race berbanding bahan api premium lain yang digunakan.

Secara spesifiknya, 69% daripada peserta menyatakan bahan api baru ini memberikan lebih kuasa, sementara 66% juga bersetuju mereka merasakan ia lebih responsif. Untuk kecekapan, 73% daripada mereka yang terlibat dalam ujian ini mengesahkan kenderaan mereka mencatat jarak perjalanan lebih jauh dengan bahan api Petronas baru.

“Hasil ujian serta maklum balas yang kami terima daripada pemandu ini sangat memberangsangkan. Sebagai sebuah syarikat tenaga dan rakan kongsi penyelesaian yang terkemuka, kami terus mencari cara untuk memperhalusi dan mempertingkatkan penawaran kami supaya dapat terus menjadi pilihan utama pelanggan. Kami yakin Petronas Primax 97 dengan Pro-Race ini akan mengatasi jangkaan pelanggan dan menyenangkan lagi pengalaman pemanduan mereka,” kata Azrul.