Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menerima 16 unit Honda Civic 1.8 S sebagai kenderaan rasmi. Majlis penyerahan kereta tersebut berlangsung di ibu pejabat kementerian terbabit di Putrajaya.
Ini merupakan kali pertama kementerian memilih kenderaan Honda sebagai kereta rasmi. “Bagi pihak Honda Malaysia, kami sangat berbesar hati apabila KPDNHEP memilih Civic sebagai kenderaan rasmi bagi melaksanakan tugasan,” ujar pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia Toichi Ishiyama.
Tambahnya, “Kami juga menghargai peranan penting kementerian dalam mempromosikan dan mengekalkan perdagangan domestik di Malaysia, walau pun dalam keadaan kita masih berhadapan dengan cabaran untuk meningkatkan ekonomi Malaysia yang banyak terjejas akibat pandemik COVID-19.”
Varian 1.8 S merupakan model paling asas dalam barisan Civic tempatan, dan ia dijanakan oleh enjin 1.8 liter naturally aspirated yang mampu memberikan kuasa hingga 141 PS pada 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada 4,300 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear Earth Dreams CVT, yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.
Sebelum ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut memilih model kenderaan yang sama sebagai jentera rasmi. Sebanyak 425 unit Civic telah digunakan oleh PDRM sebagai kenderaan peronda dan penguatkuasaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.