Sejak beberapa hari lalu, Yamaha Vietnam telah menyiarkan beberapa gambar teaser model baru yang akan didedahkan secara rasmi esok secara atas talian. Bentuk penuh motosikal ini masih belum dapat dilihat namun ada beberapa bayangan yang diberi.

Gambar yang disiarkan kebanyakannya adalah gelap dan samar-samar, tetapi apa yang diberitahu, model baru ini adalah sebuah ‘underbone‘ atau dalam terjemahan bahasa kita, sebuah kapcai. Bermakna juga, ini adalah sebuah model yang menggunakan tangki di bawah dan bukannya di atas seperti R15.

Jangkaan yang dibuat ramai, ini adalah Exciter atau lebih dikenali di negara kita sebagai Y15ZR, tetapi versi baru dengan enjin 155 VVA. Gambar-gambar teaser juga menghala ke arah itu dengan menunjukkan panel badan dari beberapa sudut.

Kelihatan seperti semua panel badannya adalah baru, dan paling menarik adalah nyalaan lampu siang (DRL) LED yang berbentuk seperti boomerang di hadapan. Kemudiannya dalam salah satu gambar juga ternampak bahagian panel meter yang kelihatan seperti satu unit digital berbentuk rata.

Selain teaser gambar dan video, Yamaha Vietnam juga telah membuka tempahan awal untuk model baru ini dengan menyatakan terdapat versi istimewa yang akan dikeluarkan untuk 100 pelanggan pertama dan mereka juga akan menerima beberapa hadiah lain.