Walaupun Tokyo Auto Salon 2021 akan berlangsung secara maya, itu tidak membantutkan hasrat pengeluar untuk tetap mempamerkan rekaan kustom mereka, seperti tahun-tahun sebelum ini. Antara yang patut diberi perhatian ialah Daihatsu, yang telah menyediakan lima kenderaan unik untuk ditunjuk.

Semuanya merupakan sebahagian daripada pameran yang digekar Daitahsu Village Colourful Carnival. Kita mulakan dengan sebuah hasil yang diberi nama Hijet Jumbo Sportza Ver. Menggunakan asas trak pikap dengan cab lanjutan daripada Jumbo, rekaan ini dibuang bahagian bumbugnya agar tampil seperti sebuah roadster.

Untuk versi dengan bumbung, Daihatsu sediakan pula Hijet Jumbo Camper Ver, yang tampil dengan wajah depan comel, warna cerah, rak bumbung, pelapik untuk menutup ruang kargo yang dibawa, dengan roda besi.

Untuk imej lebih sporty, Copen Spyder Ver menjadi wakilnya. Ia menggunakan asas daripada Copen Cero. Sama juga seperti Hijet Jumbo Sportza Ver, coupe dua pintu itu diubah menjadi sebuah roadster dengan cermin depan yang lebih pendek, rim enam-jejari, tiada bumbung boleh lipat dan tiada lampu kabus depan.

Model keempat yang akan turut dipamer ialah Taft Crossfield Ver, dengan imej yang lebih rugged. Ia hadir dengan kedudukan lebih tinggi, tayar off-road besar, lengkung roda rata, rak bumbung dan cangkuk tunda. Model terkakhir, Thor Premium Ver with D-Sport dengan kombinasi warna terang, juga dengan imej ranggi yang tersendiri. Mana satu yang paling memikat perhatian?