Selepas dua setengah tahun diperkenalkan, kini Geely Binrui telah pun menampilkan luaran yang lebih sporty. Sedan segmen-C ini menampilkan imej yang lebih bergaya dengan lencana “F” pada gril, dan menurut beberapa laporan, ia bakal ditampilkan menerusi varian ‘F-Type Sport’.

Seperti sebelum ini, Binrue dibangunkan dengan platform B-Segment Modular Architecture (BMA) ciptaan Geely sendiri, dan F-Type Sport memiliki perubahan yang didatangkan sebagai sebahagian daripada peningkatan kepada model asas Binrui. Peningkatan penampilannya termasuklah pada gril honeycomb dan corong pengambilan yang lebih rendah yang menggantikkan ciri concentric dan kepingan yang ditampilkan pada gaya model semasa, sementara sudut bampar hadapan turut diberikan olahan yang lebih segar.

Varian dengan lencana-F dengan kemasan hitam pada gril honeycomb, turut melibatkan bahagian bampar hadapan yang lebih rendah, kemasan bampar, spoiler belakang dan kemasan diffuser, kemasan tingkap dan perumah cermin sisi, serta rim aloi lima-jejari-berkembar dengan rona lebih gelap.

Varian Geely Binrui ‘F-Type Sport’

Peningkatan ini turut menyaksikan Binrui telah menggugurkan unit kuasa 1.0 liter dari barisannya, meninggalkan enjin 1.4 liter turbo petrol yang telah dirombak semula dan kini mampu menghasilkan 141 PS dan 235 Nm, dipadankan dengan CVT sebagai pilihan kotak gear tunggal, menurut FormCar. Pada sedan yang mengalami pra-peningkatan pada 2018, enjin 1.4 liter itu hanya memberikan kuasa sekitar 131 hp dan tork 215 Nm.

Di dalamnya, Binrui 2021 diberikan unit infotainmen ala terapung sama seperti model semasa, dengan kemasan papan pemuka ala-gentian karbon bagi menggantikan kemasan ala-metal. Bentangan papan pemula juga dikekalkan, dengan corong pendingin hawa diletakkan pada perumah di atas paparan.

Segmen-C Binrui ini kemungkinan boleh diletakkan sebagai calon terbaik untuk menggantikan Proton Preve pada masa hadapan. Walau pun Proton belum mendedahkan sebarang maklumat, namun difahamkan syarikat ini bakal memperkenalkan model sedan baharu pada tahun 2021. Jadi adakah kebarangkalian Preve akan ‘menyalin-kulit’ dengan Binrui?

Selain peningkatan enjin 1.4 liter yang ditampilkan pada Binrui 2021, platform BMA yang digunakan juga boleh disesuaikan dengan mana-mana model dari jenama terbabit, ini termasuklah enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder dan DCT tujuh-kelajuan pada Proton X50, yang sama dengan enjin asas bagi Volvo XC40 Recharge T5 PHEV. Maka, adakah ia juga bakal digunakan untuk model segmen-C baharu Proton?