Selain PCX 160, Honda Thailand juga telah melancarkan Wave 110i 2021 untuk pasaran negara itu. Ini adalah sebuah model baru yang menggunakan enjin suntikan bahan api dan diberikan peningkatan di beberapa bahagian.

Enjin yang digunakan adalah versi terbaru daripada barisan Honda Smart Engine, berkapasiti 109.5 cc, dengan sistem SOHC, suntikan bahan api PGM-FI dan penyejukan udara. Ia dipadankan bersama transmisi empat kelajuan dan dikatakan mampu memberi penggunaan bahan api sehingga 76.9 km/l.

Walaupun boleh dikatakan sebagai sebuah model asas dan mampu milik, Wave 110i 2021 turut dinaik taraf dengan lampu jenis LED, ruang simpanan bawah tempat duduk 35% lebih besar, tangki bahan api lima liter dan panel meter baru dengan gabungan skrin LCD.

Kerangka model ini juga adalah baru, sekaligus mampu memberikan kawalan yang lebih mudah dan membantu lagi penjimatan bahan api. Ada beberapa varian yang diperkenalkan di Thailand dan kelengkapan juga boleh jadi berbeza.

Varian yang lebih rendah cuma akan mendapat pemula enjin jenis tendang, padanan brek cakera di hadapan dan dram di belakang serta rim jenis lidi sementara varian lebih tinggi pula mendapat pemula enjin jenis elektrik, brek cakera depan dan belakang serta rim jenis sport lima cabang.