Baru dua hari sahaja Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkolaborasi dengan pihak Polis DiRaja Malaysia (PFRM) dalam Ops COVID-19 bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuatkuasa sehingga 26 Jan ini. Walau bagaimana pun dalam tempoh dua hari tersebut, sebanyak 321 kesalahan jalan raya di seluruh negara telah pun direkodkan oleh JPJ.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, kesalahan paling tinggi dicatatkan melibatkan lesen kenderaan motor yang sudah tamat tempoh iaitu sebanyak 43 kesalahan manakala paling rendah tujuh kesalahan membabitkan tiada cukai jalan serta kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 33), laporan Bernama.

“Penugasan kita ini juga lebih kepada aspek seperti kesalahan merentas sempadan melibatkan kenderaan perdagangan misalnya dalam bas, penumpang naik tapi penumpang tiada surat rentas sempadan, jadi itu juga akan kita fokuskan.

“Kita juga akan melihat kesalahan melibatkan menyalahgunakan permit perjalanan yang mana mereka hanya boleh ke tempat tertentu sahaja tetapi mereka ke kawasan lain juga, kalau tak buat satu kawalan dan seliaan di lapangan, mereka akan salah guna,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau berkata penambahan anggotanya dalam penugasan membantu PDRM sepanjang PKP, PKPB dan PKPP itu akan diteliti mengikut keperluan selain akan bekerjasama dengan semua badan penguat kuasa. Buat setakat ini, seramai 1,200 anggota JPJ di seluruh negara diatur gerak mulai Sabtu lalu bagi tujuan penugasan tersebut.