Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), kerajaan akan memberikan bantuan secara one-off sebanyak RM500 kepada pemandu bas dan teksi serta e-hailing.

Memberi maklumbalas mengenai perkara ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata individu yang layak bolehlah memohon bantuan tersebut menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), laporan Bernama.

“Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan dimaklumkan oleh APAD dalam masa terdekat. Sehingga kini, rekod terdahulu menunjukkan terdapat kira-kira 600 pemohon yang layak tetapi masih belum berdaftar dengan APAD, sekali gus menyukarkan proses penyaluran bantuan dibuat,” katanya.

Selain bantuan one-off ini, kerajaan turut memberi pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama lima tahun, berbanding tujuh tahun sebelum ini.

Malahan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi juga akan diperkenalkan iaitu memberi 50% jaminan ke atas pinjaman bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan. Ia membolehkan pengusaha bas dan teksi menstruktur semula pinjaman mereka serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah.

Di bawah PERMAI, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM15 bilion dengan 22 inisiatif yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.