Teaser bagi Ioniq 5 telah pun disiarkan pada awal bulan ini, dan baru ini spesifikasinya pula dibocorkan menjelang pelancarannya yang direncana bakal berlangsung pada bulan hadapan. Sebelum ini, dimaklumkan, Ioniq adalah nama bagi sub-jenama Hyundai, dengan Ioniq 5 bakal menjadi model pertama yang dibangunkan berasaskan Electric-Global Modular Platform (E-GMP), diikuti dengan Ioniq 6 dan 7.

Malahan menerusi spesifikasi yang bocor hasil perbentangan daripada para pengedar yang dihantar kepada Motor1, penjana kuasa elektrik Ioniq 5 ini akan ditawarkan dengan konfigurasi pacuan semua-roda dan roda-belakang, dengan kuasa sehingga 310 hp. Buat masa ini jenis bateri yang akan memacukan motor elektrik masih tidak diketahui, tetapi dikatakan ia mampu memberikan jarak sehingga 510 km mengikut WLTP.

Untuk pengecasan, Ioniq 5 menggunakan pengecasan pantas DC sehingga 232 kW, bermakna ia boleh dicas cecah 80% dalam tempoh 18 minit. Seperti yang kita sedia maklum, E-GMP menampilkan sistem pelbagai-pengecasan yang boleh menyalurkan sehingga 400-voltan dan 800-voltan bagi pengecasan DC, dengan operasi pengecasan AC yang paling perlahan iaitu 240-voltan.

Selain itu, ada juga pengecasan dwi-arah dengan sokongan Vehicle to Load (V2L) hingga 3.5 kW, bermakna bateri boleh mencapai hingga kapasiti berkuasa tinggi seganda dengan power bank.

Bagi aspek dimensi, EV ini memiliki jarak roda sehingga tiga meter dan ruang but pula cecah 600 liter. Di dalamnya, ia ditampilkan “tempat duduk yang boleh dibaringkan sepenuhnya dan konsol bergerak,” sementara ciri lain termasuklah paparan digital 12.3-inci dan “paparan utama 44-inci”. Sebagai EV moden, Ioniq 5 juga akan mempunyai teknologi pemanduan sendiri, yang dipertingkatkan ke Level 2.

Untuk memastikan spsesifikasi yang bocor ini ‘betul-betul realiti’ buat Ioniq 5, kena nantikan pelancarannya kelak.