5 perkara salah yang masih pemandu Malaysia lakukan

5 perkara salah yang masih pemandu Malaysia lakukan

Ramai antara kita yang sayang kereta sendiri, kan? Tapi kadang-kadang tindakan yang kita buat tak selari dengan apa yang sepatutnya dilakukan terhadap kereta yang kita guna atau jaga. Maksudnya, ada waktu kita berbelanja ke atas benda-benda yang tidak sepatutnya pada kereta, atau keutamaan perbelanjaan itu diberikan kepada benda-benda yang tak penting.

Sikap seperti ini bukan rahsia, anda pasti pernah menyaksikannya sendiri. Misalnya “kedekut” terhadap tayar yang digunakan, padahal ini antara elemen paling penting pada sesebuah kendearan. Maka, kali ini kami ingin bawa anda merenung tentang lima perkara yang selalu pemandu atau pemilik kenderaan di Malaysia lakukan, sedangkan itu tak sepatutnya berlaku.

1. Beli tayar murah/terpakai

5 perkara salah yang masih pemandu Malaysia lakukan

Ini perkara yang ramai orang lakukan, termasuklah untuk kereta premium – rim nak besar atau mahal, tapi tayar murah atau dari jenama tak diketahui asal-usulnya. Kalau ada yang anda kenal selalu buat perangai macam ini, eloklah minta dihentikan. Kalau nak pilih tayar, pilihlah dari jenama yang sudah diketahui reputasinya. Hanya untuk alasan mudah ini; ia lebih selamat dan boleh dipercayai.

Perlu diingat, apa yang anda bayar, itulah yang anda akan dapat. Lebih mahal sebiji tayar daripada jenama yang dipercayai, maka kita tahu bahawa dengan itu datang sekali keselamatan serta kejuruteraan rekaan yang teruji. Semahal mana pun kereta yang kita ada, hanya satu perkara darinya yang bersentuhan dengan jalan – tayar kita.

Itu saja sudah memberi gambaran betapa penting pemilihan tayar yang berkualiti, dan ini tidak semestinya perlu dari jenama mahal dan premium seperti Michelin, Continental atau Pirelli sahaja, sebaliknya banyak lagi jenama dengan tanda harga tayar yang berbaloi, seperti Hankook, Falken, Dunlop, Maxxis, GT Radials dan lain-lain.

Dan jangan sekali-kali menggunakan tayar terpakai. Jangan mudah tertarik dengan iklan “bunga lagi 80%” dan sebagainya, tak kisahlah kalau dari jenama mahal dan bagus. Sekali tayar itu pernah digunakan, tempoh hayatnya akan jadi lebih pendek — walaupun nampak macam masih elok. Begitu juga tayar asal pada kenderaan recon. Selepas sudah pernah digunakan dan lama terdedah dalam kapal penghantaran dan sebagainya, tayarnya akan keras dan tidak lagi selamat digunakan.

Tetapi, jangan pula tersilap faham tentang tayar stok lama yang mungkin ada di kedai. Stok tayar yang belum digunakan, walaupun tersimpan setahun dua di kedai, masih lagi elok dan selamat digunakan. Hanya bila tayar berkenaan sudah pernah digunakan dan terdedah kepada kitaran haba dari permukaan jalan yang akan terkesan. Jadi, dalam apa keadaan sekalipun, elakkan penggunaan tayar terpakai. Jangan kedekut dengan tayar kereta anda.

2. Tukar kepada lampu HID

5 perkara salah yang masih pemandu Malaysia lakukan

Memang, lampu “putih” LED atau lampu HID pada kereta moden nampak lagi stail dan cerah. Tetapi, anda tak sepatutnya senang-senang menukar lampu halogen biasa kepaada jenis HID ini. Pertama kerana itu salah di sisi undang-undang.

Kebimbangannya adalah lampu berkenaan akan jadi terlalu terang, dan ketika dipasang pada sistem lampu reflektor yang direka untuk unit halogen, ia boleh jadi terlalu tinggi dan menyebabkan silau kepada orang lain. Ini menyusahkan pengguna jalan raya yang lain, dan sebab itu ia salah. Apa pun alasannya, termasuk telah melakukan penukaran dengan cara yang betul dengan menggunakan lensa projektor kustom dan penetapan lampu tinggi automatik, ia tetap melanggar peraturan JPJ. Ini perlu diambil maklum.

Sebagai alternatif, anda boleh gunakan mentol halogen yang lebih baik dan cerah untuk mempertingkat penglihatan pemanduan waktu malam. Misalnya dari jenama seperti Osram atau Philips, yang menawarkan prestasi pencahayaan yang lebih baik serta sah digunakan di Malaysia. Asalkan jangan pilih yang lebih tinggi daripada 4,300 K, anda akan selamat.

3. Perumah lampu gelap (“smoked”) dan lampu belakang berkelip

5 perkara salah yang masih pemandu Malaysia lakukan

Lampu yang cerah sangat memang salah, tapi lampu kenderaan yang kelam pun salah juga. Yang dimaksudkan ialah untuk menggelapkan lampu kenderaan anda atau menjadikannya kesan “smoked”, sama ada menggunakan Plasti Dip, pelekat balutan atau lapisan filem gelap.

Kalau digelapkan sedikit tentunya tidak apa-apa, tetapi kalau sampai mengganggu tahap pencahayaan yang sepatutnya, itu bermasalah. Kerana, ia akan menyukarkan penglihatan ketika memandu waktu malam dan kemudiannya menjadikan keadaan bahaya untuk pemandu dan pengguna jalan yang lain.

Lampu belakang yang dikurangkan tahap cahayanya juga akan membahayakan orang lain; ini termasuklah lampu brek dan lampu isyarat. Ia bertujuan untuk memaklumkan orang lain tentang hasrat tindakan anda. Jadi kalau ini menjadi samar-samar, nak salahkan siapa kalau ada kereta yang hentam belakang kereta anda?

Ada beberapa lagi salah guna lampu yang biasa kita lihat. Misalnya salah pasang lampu kabus, gunakan lampu kecemasan ketika cuaca hujan, wayarkan lampu undur untuk biarkannya menyala ketika membrek dan tentunya, lampu brek berkelip. Semua ini menyusahkan pengguna jalan yang lain, jadi jangan pentingkan diri dan jangan buat semua ini. Bertimbang rasalah.

4. Filem penapis haba yang gelap

5 perkara salah yang masih pemandu Malaysia lakukan

Ini rasanya tak perlkan pengenalan panjang dalam kalangan pemilik kenderaan di Malaysia. Macam-macam alasan jenaka akan diberikan untuk mengabsahkan tindakan segelintir pengguna yang suka betul dengan cermin gelap ini. Apa pun, Malaysia mempunyai peraturan ketat tentang hal ini. Kalau cermin terlebih gelap (bagi bahagian separuh depan kenderaan), itu satu kesalahan. Jadi, pilihan yang lebih baik adakah untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab; kenapa memilih untuk melanggar peraturan? Kalau nasib tak baik dan kena saman, orang yang sama akan buat-buat tak tahu dan mengeluh. Sudah terang lagi bersuluh, kan?

Kebanyakan kedai filem penapis haba ini akan melabelkan dengan jelas jenis yang mana filem yang “halal” dan mengikut spesifikasi JPJ. Selebihnya yang tidak ditandakan itu tentulah tidak mengikut spesifikasi. jadi, pilihan selalu berada di tangan kita. Kalau ada yang kata cermin lagi gelap akan jadikan penapisan haba yang lebih baik, itu belum tentu betul. Ini kerana, filem penapis yang berkualiti tinggi, dengan kadar visible light transmission (VLT) lebih tinggi juga akan menjadi penghadang haba yang lebih baik berbanding filem murah lain yang lebih gelap.

Sama seperti tayar, belanjakan sedikit wang untuk pasang filem penapis haba yang berkualiti, dan ia akan tahan lama dan menjalankan fungsinya dengan baik tanpa anda perlu risau. Maka, pilihlah yang ada label sah JPJ.

5. Nombor pendaftaran fancy

5 perkara salah yang masih pemandu Malaysia lakukan

Ini pun cerita lama dan tak pernah habis. JPJ ada peraturan dan ukuran yang spesifik untuk digunakan pada nombor pendaftaran kenderaan, tetapi masih ramai yang gunakan rekaan-rekaan fancy yang lain yang melanggar peraturan. Ini merangkum segala aspek, misalnya saiznya, jenis muka huruf bahkah termasuklah jarak antara huruf yang tidak mengikut garis panduan JPJ adalah salah. Begitu juga dengan muka hurut dengan gaya lain, kemasan kristal atau papan belakang gentian karbon, semua itu menyalahi undang-undang.

Ini belum lagi diambil kira nombor-nombor yang disusun untuk mencadangkan nama atau maksud perkataan: misalnya NAJ 113, MAR 14 dan PLA 4804 yang bermaksud untuk menjadi kata lain seperti NAJIB, MARIA dan PLAYBOY. Macam-macam hal, dan kreatif tak kena tempat.

Ada sebab kenapa peraturan ditetapkan; bertujuan untuk menjadikan semuanya standard dan memaksimumkan kesahan nombor plat kenderaan yang ada di atas jalan. Jadi, tak susahkan untuk patuh peraturan ini semua?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Salam tuan. Kalau kita tukar lampu halogen kepada HID atau LED (retrofit), tapi masih lagi pada kada 4300K, adakah dibenarkan.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 15
 

Add a comment

required

required