Tak sampai beberapa bulan sebelum tarikh asal pengenalan rasmi Skoda Kushaq, pengeluar Czech itu telah mula menunjukkan crossober segmen B terbabit kepada umum. Walaupun yang ditunjuk itu model prototaip dengan pelekat samaran, ia tetap menunjukkan bentuk model berkenaan dengan jelas.

Kushaq ini memang direka dengan pertimbangan untuk pasaran India, menggunakan platform modular MQB A0 IN. Ini merupakan versi daripada platform MQB A0, yang digunakan pada model Kamiq untuk pasaran Eropah, dan dibangun spesifik untuk rantau itu. Platform yang sama juga akan digunakan untuk Volkswagen Taigun (ya, bukan Tiguan yang biasa).

Rekaan Kushaq dipertontonkan tahun lalu melalui model konsep Vision IN dan kelihatan bentuk umumnya masih dikekalkan, termasuklah gril besar enam bucunya, lampu utama tirus serta lengkung tingkap yang tinggi dan lampu belakang bentuk L.

Garis bahu yang ketara pada model konsepnya juga kelihatan akan dikekalkan, tetapi bahagian gril dengan iluminasi, pemegang pintu serta roda besar tidak akan di”bawa” sekali. Rekaan dalaman yang sebelum ini terlalu canggih dan aneh juga dirasakan akan disantaikan sedikit untuk versi produksi.

Skoda juga telah mendedahkan beberapa ciri pada model ini. Antaranya ialah kerusi pemandu dengan ketinggian boleh laras, sama seperti larasan sterengnya. Mungkin ini hal yang jarang ditawarkan untuk pasaran India; berserta sistem pendingin hawa dengan kawalan automatik akan ada sekali. Skrin sentuh untuk infotainmen, kawalan melayar dan lampu/pengilap automatik akan ditawarkan juga.

Barisan enjin yang akan digunakan juga telah disahkan, terdiri daripada unit 1.0 liter tiga-silinder turbocas dan 1.5 liter empat-silinder TSI. Versi enjin yang lebih besar pada Vision IN menghasilkan 150 PS dan 250 Nm, dan didakwa mampu mencapai 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat dengan laju maksimum 195 km/j dengan transmisi DSG tujuh-kelajuan pacuan depan. Kotak gear manual enam-kelajuan juga akan ditawarkan.

Dari aspek keselamatan, Kushaq dilengkapi dua beg udara sebagai standard, dengan enam keseluruhannya bergantung kepada varian. Turut ada ialah kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan sistem pemantauan tekanan tayar – kereta ini menepati peraturan keselamatan yang lebih ketat untuk pasaran di sana. Selain untuk pasaran India, Skoda memaklumkan yang crossover ini akan turut dipasarkan ditempat lain yang dirasakan sesuai. Jadi, ada peluang Skoda kembali ke Malaysia?