Ford telah mengumumkan bahawa model crossover elektrik Mustang Mach-E baharu bakal dipasang oleh Changan Ford di China, tetapi ia juga hanya akan dijual untuk pelanggan di republic berkenaan. Jualannya disasarkan pada tahun ini juga.

Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi jenama ini iaitu “Best of Ford, Best of China” untuk menawarkan pelanggan di China kenderaan pintar dan berteknologi maju. Ia akan menampilkan Ford Co-Pilot 360 (sistem bantuan pemandu terpintar) dengan keupayaan pemanduan sendiri Level 2, serta fungsi kemaskini over-the-air.

Bukan itu sahaja, Ford juga akan memproduksikan model tertinggi Mach-E GT Performance Edition di China. Syarikat ini berkata langkah untuk memproduksi secara tempatan bagi edisi prestasi tinggi sebegitu adalah belum pernah dilakukan oleh pengeluar kereta global.

Untuk pengetahuan, Mustang Mach-E akan ditawarkan sama ada versi pacuan roda-belakang atau semua-roda. Bagi Mach-E GT Performance Edition, dengan kuasa sehingga 480 hp dan tork 860 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 3.5 saat. Bateri lithium-ion 88 kWh boleh memberikan jarak hingga 376 km (jangkaan EPA), tetapi Ford berkata model pacuan roda-belakang boleh mencapai lebih 600 km dengan hanya pengecasan tunggal.

Bercakap mengenai pengecasan, Mach-E boleh mencapai kadar pengecasan puncak sehingga 150 kW dengan menggunakan pengecas DC, dan menurut Ford lagi, ia boleh menambah jarak sehingga 93 km dalam hanya 10 minit. Bagi model asas (yang dilengkapi bateri 75.7 kWh), pengecasan dari 10% hingga 80% hanya mengambil masa sekitar 38 minit.

Tiga mod pemanduan ditawarkan – Whisper, Engage dan Unbridled. Pilihan prestasi termasuklah kaliper brek aluminium Flexira terbaharu daripada Brembo, sementara model GT dilengkapi dengan penyerap hentak MagneRide adaptive magnetorheological dampers. Penghantaran untuk model ini dijangka akan bermula tahun ini juga.

GALERI: Ford Mustang Mach-E GT Performance Edition

GALERI: Ford Mustang Mach-E