Peminat lancar #Subaru_is_rally, respon kepada ‘jenama orang tua’ yang disifatkan bos Subaru UK

Peminat lancar #Subaru_is_rally, respon kepada ‘jenama orang tua’ yang disifatkan bos Subaru UK

Baru-baru ini Subaru UK telah mengumumkan bahawa prestasi jualan mereka untuk 2020 adalah sangat teruk; mereka hanya menjual sebanyak 951 unit kereta sepanjang tahun berkenaan, jatuh merudum sebanyak 68% berbanding 2019.

Ketika mengumumkan prestasi yang disifatkan sebagai ‘tidak masuk akal’ dan ‘memalukan’ tersebut, pengarah urusan Subaru UK yang baru sahaja dilantik pada musim panas tahun lalu, John Hurtig menyebut bahawa Subaru sekarang merupakan ‘jenama orang tua’ yang tiada kaitan lagi dengan Subaru yang hebat dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) ketika era 90’an dan awal Y2K dahulu.

“Subaru UK telah membuat banyak kesalahan sebelum ini, dari segi membangunkan jenama Subaru untuk menjadikan ia luar biasa sudah tidak ada. [Impreza] adalah kereta berprestasi, kereta rali. Ia adalah era yang baik di UK. Tapi ia tinggal sejarah; ia sudah lama berlalu. Ia sudah tidak ada kaitan lagi dengan jenama Subaru sekarang,” kata Hurtig kepada portal Autocar.

Peminat lancar #Subaru_is_rally, respon kepada ‘jenama orang tua’ yang disifatkan bos Subaru UK

Namun apa yang disebutkan oleh Hurtig berkenaan jelas tidak disenangi oleh peminat Subaru bukan sahaja dari UK, malah dari seluruh dunia. Sehubungan dengan itu, satu tanda pagar bertajuk #Subaru_is_rally telah dilancarkan di laman sosial Twitter bagi menunjukkan peminat Subaru dengan semangat rali masih lagi ramai dari seluruh dunia.

Dengan tanda pagar berkenaan, peminat membanjiri laman sosial tersebut dengan gambar-gambar serta video kereta rali Subaru dari era hujung 80’an (Subaru Legacy RS) sehingga sekarang, bukan sahaja dari pasukan utama Subaru World Rally Team (SWRT), bahkan jentera-jentera milik pasukan nasional seperti Subaru Rally Team America serta kereta-kereta rali milik pasukan dan individu persendirian dari seluruh dunia.

Selain Jepun, Subaru dan sukan rali adalah sangat rapat UK. Ini kerana bagi membawa jenama tersebut ke kancah WRC, Subaru telah melantik firma kejuruteraan dari Banbury iaitu Prodrive bukan sahaja untuk membangunkan kereta lumba, malah mengendalikan SWRT sejak ia ditubuhkan pada 1989, sehingga menarik diri dari WRC pada tahun 2008.

Tahun 1995 merupakan satu lagi detik bersejarah untuk Subaru dan rakyat UK, di mana pemandu muda dari Scotland yang menyertai pasukan berkenaan sejak 1991 iaitu Colin McRae, dinobatkan sebagai pemandu rali UK pertama yang berjaya merangkul gelaran juara dunia WRC dengan memandu Subaru Impreza WRX Group A.

Satu lagi sejarah tercipta pada tahun 2001 apabila Subaru dan Prodrive berjaya melahirkan seorang lagi juara dunia UK, Richard Burns, di mana gelaran tersebut disahkan sejurus Burns menamatkan pusingan terakhir WRC musim berkenaan yang berlangsung di UK iaitu Rally GB 2001.

Walaupun Subaru mempunyai sejarah yang cukup hebat dan begitu diminati oleh golongan muda di UK, imej tersebut dilihat semakin pudar selepas ia tidak lagi menyertai WRC. Subaru UK juga bukan sahaja tidak lagi menjual model WRX STi sejak tahun 2018, malah model generasi baharu kereta sport pacuan belakang Subaru BRZ juga tidak akan dipasarkan di Eropah. Jadi pemasaran dan penjenamaan untuk disasarkan kepada pelanggan yang lebih muda mungkin sukar untuk Subaru di UK.

“Kami telah tukar pentadbiran, kami sudah tukar pasukan, kami sudah buat banyak perubahan dalam separa kedua 2020. Sebab itulah kami sekarang sudah pun mulakan langkah pemulihan,” kata Hurtig tempoh hari, dan menambah bahawa kini mereka telah pun membuat sistem tempahan secara dalam talian. Model kemaskini untuk XV, Forester facelift dan wagon off-road Subaru Outback juga akan tiba di UK tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required