Subaru hanya mencatatkan jualan sebanyak 951 unit kereta di United Kingdom tahun lalu, jatuh menjunam sebanyak 68% berbanding tahun 2019. Dengan prestasi seperti ini, pengarah urusan Subaru UK, John Hurtig menyifatkan bahawa ia adalah ‘tidak masuk akal’ dan ‘memalukan’.

“2020 adalah tahun yang teruk. Apa yang boleh anda katakan? Ia hanyalah angka yang memalukan. Secara jujur, tiada lagi konteks lain,” kata Hurtig kepada Autocar.

Seperti yang diketahui, pandemik Covid-19 telah menjejaskan hampir kesemua jenama automotif secara global, dan menurut laporan Autocar ini, Subaru adalah jenama yang paling teruk terjejas di UK. Pada Ogos 2020, 69 pengedar Subaru di UK hanya mencatatkan jualan sejumlah 34-unit.

Antara penyebab kejatuhan yang mendadak ini adalah proses jualan secara pra-pendaftaran yang dibuat oleh Subaru UK pada Disember 2019. Ia secara terus menjejaskan prestasi mereka pada Januari 2020.

“Sebagai jenama, kami mendapat angka pendaftaran yang sangat tinggi pada Disember 2019. Malah, ia adalah bulan terbaik pernah dicatatkan oleh Subaru UK. Jadi kami menempuh 2020 dengan tunggakan yang besar,” jelas Hurtig. Beliau turut menyatakan bahawa pra-pendaftaran yang dibuat secara besar-besaran tersebut dibuat bagi mengelakkan denda emisi purata keseluruhan yang dikuatkuasakan oleh Kesatuan Eropah pada Januari 2020.

Satu lagi faktor utama sudah tentulah pandemik Covid-19. “Sasaran pasaran kami, secara jujurnya, adalah orang yang lebih tua, dan kumpulan tersebut adalah kumpulan dengan risiko [terbesar] untuk dijangkiti [wabak berkenaan]. Jadi mereka sangat gusar untuk keluar dan membuat sebarang urusan; ini adalah maklum balas yang kami dapat dari pelanggan. Ini adalah antara sebab ia lebih menjejaskan kami,” kata Hurtig lagi.

Jenama Subaru di UK dan Eropah yang diuruskan oleh syarikat Britain iaitu International Motors tersebut kini sedang mencari jalan untuk memulihkan kembali prestasi mereka. Rombakan perlu dilakukan dan ia akan dimulakan dengan rangkaian jualan.

“Rangkaian pengedar perlu dibangunkan semula dari bawah. Kami telah melakukan perubahan yang banyak dalam Subaru UK. Kami juga perlu membuat perubahan struktur keseluruhan rangkaian pengedar. Banyak perkara yang kami kekurangan sebelum ini – dari kedua-dua sisi perniagaan. Saya bukan hanya salahkan pengedar; 50% [kesalahan] adalah dari kami dan juga sebagai satu organisasi,” jelas Hurtig yang sebelum ini bertanggungjawab ke atas pasaran Nordik Subaru, dan hanya dilantik sebagai bos Subaru UK pada musim panas lalu.

“Kami perlukan pengedar yang betul. Ia perlu kembali kepada perkara berkenaan. Kami boleh mendapatkan pemasaran dan kesedaran jenama terbaik, tapi sekiranya pengedar tidak sehaluan, ia tidak berguna. Jadi ia perlu dibangunkan bersama,” tegasnya lagi.

Subaru merupakan jenama yang tidak asing untuk pasaran UK, lebih-lebih lagi ketika era mereka masih bertanding dalam Kejohanan Rali Dunia. Hero rali British, Colin McRae merupakan pemandu rali UK pertama dalam sejarah yang berjaya merangkul gelaran juara dunia WRC pada tahun 1995 dengan memandu Subaru Impreza WRX, malah firma yang bertanggungjawab membangunkan kereta rali WRC Subaru, Prodrive juga berpusat di UK.

Namun Subaru UK tidak lagi menjual model WRX STi sejak tahun 2018, malah model generasi baharu kereta sport pacuan belakang Subaru BRZ juga tidak akan dipasarkan di Eropah. Jadi pemasaran dan penjenamaan untuk disasarkan kepada pelanggan yang lebih muda mungkin sukar untuk Subaru di UK.

“Subaru UK telah membuat banyak kesalahan sebelum ini, dari segi membangunkan jenama Subaru untuk menjadikan ia luar biasa sudah tidak ada. [Impreza] adalah kereta berprestasi, kereta rali. Ia adalah era yang baik di UK. Tapi ia tinggal sejarah; ia sudah lama berlalu. Ia sudah tidak ada kaitan lagi dengan jenama Subaru sekarang,” kata Hurtig kepada Autocar.

“Kami telah tukar pentadbiran, kami sudah tukar pasukan, kami sudah buat banyak perubahan dalam separa kedua 2020. Sebab itulah kami sekarang sudah pun mulakan langkah pemulihan,” kata ketua Subaru UK berkenaan, dan menambah bahawa kini mereka telah pun membuat sistem tempahan secara dalam talian. Model kemaskini untuk XV, Forester facelift dan wagon off-road Subaru Outback juga akan tiba di UK tahun ini.

“2020 adalah bencana buat kami. Tetapi dari perspektif kami, masih ada cara yang baik untuk mara dan masa depan yang baik untuk kami, di mana kami sangat komited mengenainya,” kata Hurtig lagi.