Volvo Car Malaysia (VCM) mengumumkan bahawa mereka kini sudahpun mengimplementasikan program waranti pengeluar lima-tahun tanpa had perbatuan untuk semua model baharu Volvo (milik individu) yang didaftarkan bermula 1 Januari 2021.
Ini merupakan tingkat taraf dari program waranti lima tahun sebelum ini di mana ianya dipecahkan kepada dua peringkat; waranti pengeluar selama tiga-tahun/100,000 km manakala tempoh waranti lagi dua-tahun/20,000 km disediakan oleh syarikat insuran yang ditetapkan.
“Penawaran baharu ini merupakan sebahagian dari dedikasi kami terhadap kualiti, khususnya berkaitan kenderaan dan hubungan dengan pelanggan. Di Volvo Car Malaysia, semua keputusan yang kami buat adalah dibuat berdasarkan keperluan pelanggan dan yang penting bagi mengukuhkan kepercayaan mereka terhadap Volvo,” kata pengarah urusan VCM, Nalin Jain.
“Kami mahu pelanggan kami merasakan mereka sentiasa dijaga sepanjang pemilikan kenderaan mereka dan kami percaya bahawa waranti pengeluar yang dipanjangkan ini adalah langkah yang betul sebagai jenama kereta premium yang berasaskan keselamatan,” tambahnya lagi.
Untuk model-model plug-in hibrid Volvo, ia akan terus menerima waranti selama lapan-tahun/160,000 km untuk bateri bervoltan tinggi, yang sebelum ini sudahpun diumumkan pada Disember tahun lalu.
“Matlamat kami untuk inisiatif ini adalah bagi membolehkan pelanggan kami yang dihargai merasa selesa sepenuhnya memandu kereta Volvo, bebas dari kerisauan. Kami berikan mereka pengalaman sepenuhnya inovasi dan teknologo yang telah dilengkapkan pada setiap kereta kami, dan dengan itu kami mampu untuk memberikan pelanggan kami kebebasan untuk bergerak secara lebih peribadi, lestari dan selamat,” jelas Nalin.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.